TANJUG MALIM: Seorang remaja perempuan maut manakala dua lagi, termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas kereta yang mereka naiki melanggar penghadang jalan di Kilometer 388, Lebuh Raya Utara - Selatan, arah selatan, dekat sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada 8.35 pagi.
Menurutnya, kemalangan melibatkan kereta jenis Honda City telah melanggar penghadang jalan dan terdapat dua orang mangsa perempuan berumur 18 dan 20 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.
“Mangsa berusia 18 tahun tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) meninggal dunia di lokasi manakala kanak-kanak yang turut tersepit mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidrolik sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.
Bagaimanapun, katanya, setakat ini identiti mangsa belum dikenalpasti.
Menurutnya, mangsa yang cedera diserahkan pada pihak KKM manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang melibatkan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim tamat jam 9.46 pagi.