Seperti mana rasa ahli keluarga penumpang lain, ahli keluarga penumpang dari China tidak pernah padam harapan terhadap usaha mencari pesawat MH370.

Zhang Qian, 28 tahun, suaminya merupakan salah seorang penumpang pesawat yang hilang sejak 100 hari lalu.

Tiada kata dapat menggambarkan rasa rindu dan gelisah Qian yang terus menanti khabar mengenai pesawat itu.

Hanya doa dan harapan agar dapat bertemu semula dengan suaminya.

“Saya fikir seperti dekat dengannya menerusi kefahaman agama. Di rumah, saya seperti jauh dengannya. Di kuil, saya boleh berbicara dari hati ke hati dengannya. Saya rasa dia boleh mendengar apa yang saya perkatakan. Ada banyak perkara yang ingin saya kongsikan, banyak yang belum saya perkatakan. Saya berdoa agar kata-kata saya sampai kepadanya dan dia kembali kepada saya.” Ujar Zhang Qian.

Kehilangan suaminya nyata mengubah hidup Zhang Qian. Beliau tidak seceria dahulu, 100 hari yang lalu dilaluinya dengan penuh perit.

Dia juga telah berhenti kerja untuk mengikuti perkembangan terkini MH370 dan mendengar taklimat bersama keluarga yang dijalankan setiap hari.

Malah dia terpaksa berpindah ke rumah kakaknya, kerana terlalu sedih dihimpit memori bersama suami tercinta.