MELAKA: Penyanyi popular tanah air, Siti Roziana Zain atau lebih dikenali sebagai Ziana Zain kini bergelar Datuk selepas dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.) yang membawa gelaran berkenaan.
Beliau yang juga anak jati Merlimau, Jasin menerima anugerah itu pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Hari Jadi Ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, di Balai Istiadat Seri Negeri, hari ini.
Turut menerima penganugerahan sama ialah Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ashwad Ismail yang juga bekas Ketua Pengarang Astro AWANI, serta Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian TV Media Prima Berhad Datuk Azhari Muhiddin.
Mereka antara 189 individu yang dianugerahkan D.P.S.M. dalam istiadat berkenaan, selain penerima lain daripada pelbagai latar belakang termasuk bidang perkhidmatan awam, politik, korporat dan seni.
Sepanjang perjalanan seni, Ziana dikenali menerusi pelbagai lagu popular seperti Puncak Kasih, Anggapanmu dan Putus Terpaksa, selain menjadi antara penyanyi wanita yang kekal mendapat tempat dalam industri muzik tanah air.
Penganugerahan Datuk itu sekali gus menjadi satu lagi pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam bidang seni yang diceburi sejak awal kemunculan sebagai penyanyi profesional.
Dalam istiadat sama, seramai 1,328 penerima menerima pelbagai darjah, tauliah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka.
Pada istiadat itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mendahului senarai 10 penerima Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M.) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima darjah kebesaran sama ialah Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hashim Hamzah; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman.
Seramai 56 individu pula menerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (D.C.S.M.) yang membawa gelaran Datuk Wira antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Mohd Sumali Reduan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar.
Selain itu, Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Datuk Mohd Azhar Abd Hamid serta Ketua Polis Melaka, Deputi Komisioner Polis, Datuk Dzulkhairi Mukhtar turut menerima darjah berkenaan.