Pihak-pihak yang berkaitan khususnya Kementerian Kesihatan, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Olimpik Malaysia perlu memastikan kesihatan para atlet dan penyokong mereka yang akan menyertai sukan Olimpik 2016 di Rio Di Jeniero pada bulan Ogos, terjaga dan terpelihara.

Pandangan itu disuarakan Pensyarah Kanan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow kepada Astro AWANI menerusi laman Facebook, berhubung penularan wabak virus Zika yang sedang berlaku di negara penganjur serta kebanyakan negara di benua Amerika.

Menurut Dr Muzaffar, berbanding dengan jangkitan penyakit bawaan nyamuk yang lain, virus Zika dikatakan boleh membawa risiko kesihatan yang serius terutamanya terhadap golongan ibu yang mengandung yang boleh membawa kepada kecacatan otak pada bayi dalam kandungan.

Beliau turut menekan bahawa tiada vaksin yang berkesan untuk mencegah daripada jangkitan dan tiada ubat khusus untuk merawat penyakit akibat virus zika terbabit.

Tambah pensyarah Fakulti Syariah & Undang-Undang itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga telah mengisytiharkan penyakit bawaan virus Zika itu sebagai “Public Health Emergency of International Concern (PHEIC).

“Namun, pihak Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa tidak mengambil sebarang keputusan untuk menunda atau memindahkan lokasi penganjuran sukan Olimpik pada tahun ini.

“Jadi, pihak berkuasa perlu mempertimbangkan penyertaan atlet negara dalam Sukan Olimpik 2016.

“Semua pihak yang berkaitan perlu mengadakan perbincangan lanjut mengenai perkara ini supaya para atlet kita serta penyokong mereka yang terbabit tidak terdedah dengan sebarang risiko untuk dijangkiti virus zika," ujarnya.

Pensyarah Fakulti Syariah & Undang-Undang itu turut meminta Kementerian Kesihatan untuk mengeluarkan garis panduan khusus buat para atlet dan penyokong yang terbabit.

Selain itu, Dr Muzaffar berkata, pihak berkuasa juga boleh mempertimbangkan untuk menunda penyertaan sukan Olimpik pada tahun ini.

“Memandangkan ancaman dari virus Zika ini dilihat masih belum reda, pihak yang berkaitan juga boleh mempertimbangkan untuk menunda penyertaan atau tidak menyertai sukan Olimpik pada tahun ini bagi mengelakkan diri mereka terdedah dengan risiko jangkitan virus Zika.

“Nyawa dan kesihatan para atlet dan penyokong perlu diberi keutamaan berbanding dengan jumlah sasaran kemenangan atau sebarang pingat yang ingin diperoleh,” jelas Dr Muzaffar.