awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Yu Qi bertemu Kunlavut pada final Terbuka Malaysia 2026
UPSR, PT3 dikaji semula: Ahli akademik cadang penambahbaikan
76 pesakit dirawat sehari: Amaran serius kesihatan jantung rakyat Malaysia - Pakar
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Zon merah banjir: Penduduk Serian ambil langkah berjaga-jaga

Bernama
Bernama
10/01/2026
11:37 MYT
Zon merah banjir: Penduduk Serian ambil langkah berjaga-jaga
Anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengangkat tilam untuk kegunaan penduduk Kampung Ranchan yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Ranchan, hari ini. - Gambar/ Bernama
SERIAN: Penduduk sekitar daerah Serian kini dalam keadaan berjaga-jaga susulan paras air Sungai Batang Kayan menunjukkan trend peningkatan sejak semalam, dengan beberapa kampung di kawasan itu diklasifikasikan sebagai zon merah bencana banjir.

Ringkasan AI
  • Penduduk di daerah Serian berjaga-jaga susulan peningkatan paras air Sungai Batang Kayan, dengan beberapa kampung diklasifikasikan sebagai zon merah banjir.
  • Penduduk sedia berpindah bila-bila masa jika keadaan bertambah buruk berikutan hujan lebat berterusan; pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara bermula pagi ini atas faktor keselamatan.
  • Persediaan menghadapi banjir dilakukan dengan simulasi pengurusan banjir sebelum bermulanya Monsun Timur Laut, termasuk penggunaan perahu persendirian dan kawalan keselamatan disiapkan oleh ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

Tinjauan Bernama mendapati penduduk sedia berpindah pada bila-bila masa sekiranya keadaan bertambah buruk berikutan hujan lebat berterusan.
Setiausaha Kampung Tebakang Bidayuh Micheal Linjet, 59, berkata kenaikan paras air yang mendadak sejak petang semalam memaksa tujuh keluarga melibatkan 15 mangsa di kampung berkenaan berpindah.
Beliau berkata bagaimanapun pemindahan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) hanya bermula pagi ini atas faktor keselamatan.
"Keadaan gelap dan paras air yang naik dengan cepat menyebabkan kami tidak berani melakukan pemindahan lebih awal selaras nasihat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). Kami menunggu arahan rasmi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dengan kerjasama agensi berkaitan sebelum pemindahan dilaksanakan pagi ini," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Mengulas persediaan menghadapi banjir, Micheal berkata pihaknya telah melaksanakan simulasi pengurusan banjir sebelum bermulanya Monsun Timur Laut (MTL) memandangkan Kampung Tebakang Bidayuh dikenal pasti sebagai kawasan berisiko tinggi.
Beliau berkata 18 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) termasuk penduduk yang tampil secara sukarela telah digerakkan bagi memastikan proses pemindahan berjalan lancar, termasuk bantuan aset seperti penggunaan perahu persendirian.
"Mereka turut digerakkan bagi kerja pemantauan, kawalan keselamatan dan persediaan menghadapi kemungkinan pemindahan secara besar-besaran sekiranya keadaan bertambah buruk," katanya.
Bendahari kampung, Richard Ray Riggu, 57, berkata kebanyakan penduduk telah mula memindahkan barangan ke tempat lebih tinggi sejak bulan lepas sebagai langkah awal menghadapi banjir.
"Sekitar 2 petang semalam, rumah ibu saya mula dimasuki air, awalnya setakat paras betis sebelum meningkat sehingga paras bahu dalam tempoh kira-kira dua jam, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk," katanya.
"Jalan utama ke kampung juga telah terputus, menyebabkan penduduk terperangkap di kawasan tinggi dan perlu menggunakan bot sekiranya mahu keluar untuk mendapatkan bantuan," katanya.
Sementara itu, George Ibau, 71, yang merupakan anggota Biro Keselamatan kampung berkenaan berkata pihaknya telah bersiap sedia sejak semalam dan mula memindahkan mangsa banjir pagi tadi dengan jumlah mangsa dijangka meningkat sebelah petang berikutan trend air yang meningkat serta hujan berterusan.
"Kawalan keselamatan turut dipertingkatkan memandangkan kawasan ini pernah dilaporkan kelibat buaya, namun setakat ini keadaan terkawal dan tiada sebarang insiden tidak diingini," katanya.
Menurut JPBN Sarawak, setakat 4 petang, sebanyak 40 PPS telah dibuka melibatkan bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri yang menempatkan 3,018 mangsa daripada 888 keluarga.
--BERNAMA
Topic Berkaitan
#banjir Sarawak
#banjir serian
#paras sungai
#info banjir terkini
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan