KUALA LUMPUR : Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan mengesahkan, Ahli Majlis Tertinggi (MPT), Datuk Zuraida Kamaruddin masih lagi bersama dengan parti tersebut.

Wan Saiful menjelaskan perkara itu selepas tercetus dakwaan kononnya Ahli Parlimen Ampang itu yang bakal menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Memetik laporan Sinar Harian, Wan Saiful menegaskan, apa yang perlu diberi tumpuan ketika ini ialah persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

"Macam-macam spekulasi mengenai Zuraida. Saya punya pandangan sebagai Ketua Penerangan parti, saya rasa isu ini dibincang dalam mesyuarat kita dan isu berkenaan kekal dalam mesyuarat.

"Lebih elok kita tunggu pengumuman rasmi daripada parti kalau ada apa-apa, kalau tiada sebaiknya kita pastikan Perikatan Nasional (PN) menang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor," katanya.

Wan Saiful ditemui bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah yang juga anggota MPT Bersatu sewaktu menghadiri program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Kampung Parit Haji Ali, Muar pada malam Rabu.

Ujarnya lagi, meskipun terkait dengan spekulasi tersebut namun keadaan itu tidak sesekali melemahkan momentum parti dalam berdepan dengan PRN Johor akan datang.

Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi sebelum ini dikaitkan dengan khabar angin bakal menyertai PBM.

Ekoran itu, ada portal berita yang melaporkan pucuk pimpinan Bersatu berbincang mengenai hasrat memecat Ahli MPT parti berkenaan.