Sebahagian besar akhbar utama tempatan hari ini menggunakan warna hitam dan putih di muka depan sebagai tanda sedih serta hormat kepada mangsa nahas pesawat Penerbangan Malaysia MH17.

Pelbagai tajuk utama yang menyayat hati turut digunakan oleh akhbar-akbhar tersebut yang menyebut tentang hari Perkabungan Negara, serta tentang kepulangan jenazah-jenazah tersebut.

Akhbar Utusan Malaysia, The Sun dan juga The New Straits Times menyenaraikan nama 20 penumpang serta anak kapal pesawat tersebut yang tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi tadi.

Bagi Sinar Harian pula, akhbar itu memaparkan gambar solat jenazah yang diimamkan oleh Imam Besar Masjib Putrajaya, Abdul Manaf Mat di S-Gravenhage, Belanda pada Khamis sebelum mayat berlepas ke Kuala Lumpur.

Akhbar The Star dan Malay Mail menggunakan tajuk yang menceritakan kepulangan jenazah-jenazah tersebut, manakala Berita Harian pula menggunakan gambar Jalur Gemilang yang dikibar separuh tiang dan Harian Metri mengenakan tajuk 'Kembali Bersemadi'.

Sementara itu, portal-portal berita seperti Astroawani.com, MStar Online, Malaysiakini dan The Malaysian Insider juga dilihat menggunakan warna hitam putih pada logo mereka.

Selain itu, kebanyakan media-media tempatan ini juga dilihat menggunakan warna hitam dan putih tersebut pada logo mereka di laman facebook dan laman sosial twitter.

Kumpulan pertama jenazah mangsa nahas pesawat penerbangan MH17 selamat tiba di tanah air hampir 40 hari selepas insiden yang mencampakkan negara ke dalam tragedi berganda melibatkan syarikat penerbangan Malaysia Airlines.

Jalur Gemilang di seluruh negara dikibarkan separuh tiang bagi mengenang semua 298 penumpang dan anak kapal, khususnya 43 anak watan, yang menaiki pesawat malang yang terhempas selepas ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai.

Kumpulan pertama ini melibatkan 20 jenazah penumpang dan anak kapal yang telah dikenal pasti identiti mereka serta mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa Belanda untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Istiadat penghormatan jenazah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur disertai oleh Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak serta dif-dif kehormat dan orang kenamaan.