Laporan awal kehilangan pesawat MH370 Penerbangan Malaysia akan dibentangkan esok.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein memberitahu bahawa segala butiran laporan awal itu akan diberitahu pada satu sidang media berkenaan MH370 yang akan diadakan di Hotel Royale Chulan.

"Kita akan mengadakan sidang media MH370 esok jadi segala butiran laporan awal akan kita beritahu esok," kata Hishammuddin dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan Stesen Express Rail Link (ERL) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur II (KLIA2) sebentar tadi.

Ditanya apakah antara kandungan dalam laporan awal yang akan dibentangkan esok, Hishamuddin menjawab "Laporan tersebut hanyalah laporan biasa yang dikemukakan kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan tiada masalah yang berlaku pun untuk mengemukakan laporan tersebut,".

Beliau menambah, selepas laporan itu dikeluarkan, beliau akan ke Australia pada minggu hadapan bagi membincangkan fasa seterusnya dalam usaha mencari pesawat tersebut.

"Saya rasa untuk adil kepada pihak Australia dan negara-negara yang terlibat dalam kerja-kerja mencari pesawat tersebut, mereka tidak membincangkan mengenai kos yang telah dikeluarkan untuk tugasan yang diberikan," katanya.

Tambahnya lagi, dalam mencari satu petunjuk positif terutamanya dalam misi mencari yang tertumpu di kawasan laut dalam adalah penting bagi satu kesepakatan antara pihak-pihak yang terlibat dalam misi ini.