46 hari pesawat MH370 hilang di Lautan Hindi, bukan satu tempoh yang singkat.

Waris keluarga penumpang masih berharap pencarian dapat menemukan bukti konkrit berhubung apa yang berlaku.

Namun, pada satu lagi sisi, tempoh itu juga sebenarnya menandakan bermulanya proses perundangan bagi waris.

Berdasarkan Undang-Undang Persekutuan Amerika Syarikat, mana-mana peguam perlu menunggu 45 hari, sebelum berurusan dengan waris yang kehilangan ahli keluarga dalam nahas pesawat.

Ini bermakna, waris penumpang kini boleh memfailkan saman di Mahkamah Persekutuan Amerika, terhadap pengeluar pesawat Boeing Co.

Namun, kekangan yang dihadapi adalah, ketiadaan serpihan sehingga kini.

Salah seorang waris penumpang memberitahu tidak mempunyai pilihan selain melalui proses perundangan untuk mendapatkan penjelasan.

"Sekarang mereka mahu meletakkan keluarga kami di dalam keranda. Sehingga kini belum ada sebarang petunjuk yang membuktikan pesawat itu terhempas. Tiada serpihan. Tiada sebarang petunjuk. Tiada sebarang maklumat rasmi setakat ini, hanya spekulasi dan andaian sahaja."

Peguam sektor penerbangan, Daniel Rose memaklumkan, tindakan perundangan juga berdepan kesukaran, kerana ketiadaan maklumat kritikal dari kotak hitam.

Di bawah Konvensyen Montreal, keluarga penumpang boleh mengemukakan saman di negara lokasi tiket dibeli, negara pangkalan syarikat penerangan atau negara destinasi terakhir pesawat.