Barisan Nasional Selangor akan melancarkan manifesto khas untuk negeri itu malam ini dalam satu majlis yang dilangsungkan di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Manifesto berkenaan bakal dilancarkan oleh Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengarah pilihan raya negeri itu.

Astro Awani difahamkan, aku janji itu bakal menyentuh pelan pembangunan ekonomi baru melibatkan pembinaan koridor ekonomi yang menjanjikan peluang pekerjaan yang besar kepada penduduk di Selangor.

Ia juga dijangka menggariskan strategi meningkatkan taraf hidup penduduk, menambah pembinaan rumah mampu milik serta menjaga kebajikan ibu tunggal dan memperkenalkan skim penjagaan anak kepada ibu-ibu bekerja.

BN sebelum ini yakin ada angin perubahan yang akan menyaksikan parti itu kembali menguasai Selangor selepas kalah negeri itu kepada Pakatan Rakyat lima tahun lalu.

Najib pada Selasa mengumumkan barisan calon BN yang terdiri daripada 80 peratus calon profesional dan berwibawa selaras dengan kehendak rakyat.

calon bn selangor


Selain calon daripada UMNO, MCA, MIC, Gerakan dan PPP, BN mencalonkan Naib Presiden Perkasa, Zulkifli Noordin sebagai "calon rakan BN" untuk bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam.


Pakatan Rakyat Selangor umum manifesto esok

Sementara itu, Pakatan Rakyat bakal mengumumkan manifesto dan senarai calon untuk negeri itu pada Khamis dalam satu majlis di Dataran Kemerdekaan di Shah Alam, malam esok.

Ia akan diumumkan oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim bertindak sebagai Pengarah Pilihan Raya Pakatan Rakyat negeri.

Manifesto pemerintah negeri itu dijangka tertumpu kepada pengstrukturan semula air, dana untuk pembinaan rumah mampu milik serta pelan pembangunan wanita dan golongan muda dalam sektor perniagaan.

Pakatan Rakyat menggalas cabaran besar dalam usahanya mempertahankan negeri itu ekoran beberapa isu yang membangkitkan kemarahan rakyat termasuk soal pengurusan dan bekalan air.

Pada masa sama, ia juga diselubungi tanggapan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat itu dikuasai oleh DAP serta polemik penggunaan kalimah Allah dalam Bible.

Dalam pilihan raya 2008, kerjasama PKR, Pas dan DAP menafikan penguasaan BN di Selangor apabila menang 36 daripada 56 kerusi DUN.

Selangor merupakan negeri yang menyaksikan peningkatan pengundi baru paling tinggi iaitu sebanyak lebih 455,000 orang bagi pilihan raya umum ini.

Selangor merupakan negeri terkaya di Malaysia, menduduki tangga pertama dengan sumbangan tertinggi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 23 peratus.