Meskipun media sosial merupakan medium terbaik bagi mendekati generasi muda, namun golongan terbabit juga perlu didekati secara langsung. Itu saranan dan pandangan penyandang kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Tan Sri Rafidah Aziz.

"Pengundi perlu dikunjungi secara langsung, ini kerana ada kesannya terhadap pertemuan dan mesej lisan tersebut. Kempen menerusi media sosial sahaja mungkin mengundang kekeliruan kepada apa yang hendak disampaikan," ujar Rafidah.

Mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu menyifatkan prestasi Barisan Nasional (BN) yang kurang menyerlah pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) yang lalu adalah disebabkan kelemahan dalam pemilihan calon dan gagal merungkai isu sensitif seperti kontroversi berhubung rumah ibadat.

Tan Sri Rafidah Aziz melontarkan pandangannya dalam sebuah wawancara televisyen Landskap PRU-13 yang disiarkan secara langsung di TV1 .

"BN akan menang di peringkat pusat namun usaha yang gigih perlu bagi memastikan BN dapat menguasai dua pertiga (kemenangan di kerusi parlimen). Ada harapan BN merampas semula Selangor jika rakyat didekati dan mesej disampaikan dengan jelas," menurut wakil rakyat yang telah berkhidmat lebih 30 tahun itu.

Rafidah turut mengingatkan bahawa rakyat Malaysia sewajarnya bersyukur dengan kedaulatan sedia ada kerana berada di sebuah negara meskipun tidak begitu besar namun boleh menentukan hala tuju sendiri dan menjadi contoh di mata dunia.

Dalam pada itu Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Tan Sri Abdul Aziz Rahman dalam satu perbualan telefon memberitahu tumpuan tidak seharusnya diberikan kepada pengundi baharu sahaja namun pengundi lama yang setia sekian lama juga perlu didekati secara konvensional kerana mereka telah banyak memberi kemenangan kepada BN.