Masyarakat Cina tidak seharusnya mudah terpedaya dan mempercayai kenyataan PAS bahawa pelaksanaan hukum hudud tidak akan dikuatkuasakan ke atas mereka, kata Pengerusi MCA Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tan Chai Ho.

Beliau berkata itu hanya satu helah parti pembangkang untuk memperdaya masyarakat Cina.

Katanya, hudud jika dilaksana, akan memberi kesan bukan hanya terhadap orang Islam malah bukan Islam dalam semua aspek kehidupan harian mereka.

"Kebanyakan masyarakat bukan Islam memilih untuk percaya bahawa selagi mereka tidak bersalah dan tidak melakukan jenayah, mereka tidak akan terjejas dengan enakmen hudud PAS.

"Ini adalah satu pembohongan, seperti yang boleh dilihat di negeri di bawah pentadbiran PAS," katanya dalam satu kenyataan Ahad.

Tan berkata kenyataan Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Haron Din bahawa PAS tidak akan teragak-agak meninggalkan Pakatan Pembangkang, jika mereka gagal mencapai kata sepakat, membuktikan betapa parti itu ingin melaksanakan hudud.

Dalam perkembangan terkini, PAS bertegas ia akan melaksanakan hukum hudud jika pembangkang berkuasa selepas pilihan raya umum, meskipun dibantah DAP dan PKR.