Ahli dan penyokong UMNO serta parti komponen Barisan Nasional digesa untuk tidak menunjukkan sedikit pun simpati kepada bekas ahli parti itu yang bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya umum ini.

Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, calon bebas itu sekarang adalah musuh UMNO dan BN.

"Jawatankuasa Disiplin sudah pecat. Dia (calon Bebas) tidak lagi di dalam Umno, jadi jangan beri simpati kepada dia.

"Saya tahu Wanita (Pergerakan Wanita) akan kata kasihan... kasihan... tetapi tiada maaf tuan-tuan dalam pilihan raya," katanya seperti dipetik oleh Bernama.

Muhyiddin berkata demikian dalam satu rapat umum Perhimpunan Rakyat 1 Malaysia dan melancarkan kempen Gelombang Biru Wanita BN di Stadium Foong Yoon Kong di Bukit Gambir, Ledang, Johor, hari ini.

Kerusi Dewan Undangan Negeri Gambir menyaksikan calon BN, M. Asojan ditentang oleh Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed serta dua bekas ahli UMNO yang bertanding sebagai calon bebas.

Calon bebas itu, Mohd Zan Abu ialah bekas Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ledang dan Yunus Mustakim, bekas Ketua Umno Cawangan Kampung Parit Rabu.

Muhyiddin menegaskan tiada istilah kasihan terhadap calon Bebas itu kerana tindakan mereka boleh menyebabkan kekalahan parti sekaligus mencemar maruah BN.

"Jangan kita beri satu undi pun kepada calon Bebas. Ada yang kata tidak mengapa nanti mereka (calon Bebas) akan jadi rakan BN apabila menang.

"Tetapi tiada istilah mesra BN di sini. Ini suatu pertarungan. Mereka akan dipecat seumur hidup," katanya.

UMNO memecat 58 ahli dengan serta merta kerana bertanding sebagai calon bebas dalam PRU-13 ini. Mereka termasuk Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim yang bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Kangsar.