Polis kedah akan memberikan tumpuan khusus kepada beberapa kawasan panas di negeri itu selepas hari penamaan calon yang akan diadakan pada Sabtu ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, beberapa kawasan panas itu sudah dikenalpasti berdasarkan kes-kes yang diterima berkenaan pilihan raya seperti membuang bendera dan mencetuskan kekecohan.

Ujarnya, beberapa petunjuk yang ada akan digunakan sepenuhnya oleh pihak polis untuk menumpukan perhatian dan menambah bilangan anggota di kawasan berkenaan.

“Bila penamaan calon esok, kita boleh tahu dimana hotspot yang kita perlu tumpukan bagi mengelakkan provokasi dan kejadian mencabut bendera parti dan seumpamanya di kalangan penyokong,” kata Ahmad Ibrahim.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Tadika Perpaduan Roziah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah.

Sementara itu, Ahmad Ibrahim tidak mendedahkan jumlah keseluruhan laporan berkaitan PRU-13 namun berjanji akan menyiasat semua kes khianat yang diterima seperti membuang bendera dan lain-lain.

Sehingga kini tiada sebarang tangkapan dibuat.

Dalam pada itu, pihaknya turut mengingatkan ahli-ahli politik agar tidak mengadakan sebarang ceramah tanpa kelulusan dan permit dari pihak polis.