Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berharap akar umbi Pas menerima kemasukan beliau di dalam parti itu.

Reaksi beliau itu sebagai mengulas segelintir akar umbi Pas yang mempersoal kemasukan beliau yang nyata sarat dengan kontroversi masa lampau.

"Kita bukan Nabi, bukan khalifah. Kita pada zaman muda... kita ada, ya siapa yang tidak ada zaman muda," kata Muhammad ketika ditemui di Ibu Pejabat Pas, Jalan Raja Laut.

Beliau hadir di ibu pejabat Pas pukul 12 tengahari untuk menyertai sidang media bersama dengan Datuk Tamrin Ghafar.

Walau bagaimanapun, beliau hanya menandatangani kenyataan bersama dan terpaksa meninggalkan sidang media tanpa menjawab sebarang soalan.

Senario itu memaksa beberapa wartawan bergegas mengejar beliau bagi menjawab beberapa persoalan yang berbangkit.

Beliau turut ditanya adakah beliau rela kontroversi lampau dibangkitkan dan dijadikan bahan kempen pilihan raya.

"Saya pandang ke depan. Apa yang sebaik-baiknya untuk kita," ujar beliau.

Muhammad menjadi Menteri Besar Selangor selama 12 tahun bermula pada 1986.

Beliau kemudian meletak jawatan selepas terpalit dengan kontroversi menyeludup keluar wang berjumlah RM3.8 juta ke luar negara.

Muhammad yang berkhidmat bersama UMNO sejak empat dekad lalu sudah tidak aktif berpolitik selepas kalah dalam merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO pada 2009.

Kemasukan beliau di dalam PAS ketika pentas saingan politik pilihan raya yang sengit antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat terutama di negeri tumpuan, Selangor.