Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menafikan laporan beberapa blog kononnya beliau telah meletakkan jawatan daripada parti susulan tersebarnya rakaman video lucah yang dikaitkan dengan dirinya.

Katanya, penyebaran rakaman video itu tidak menjejaskan dirinya dan "tidak jadi kudis sedikit pun".

"Saya malas layan kat media ini sebab pelawok (penipu), ada pula antara blog yang kata bahawa saya letak jawatan sebagai Setiausaha Agung kerana isu video ini.

"Saya hidup lagi ni, (masih) Setiausaha Agung PAS lagi. Tidak jadi kudis gatal pun dengan perkara itu. Saya dah faham surat khabar," katanya seperti dipetik oleh Bernama.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam satu majlis di markas PAS Kampung Molek, Dungun, Terengganu, malam tadi.

Mustafa bagaimanapun dilaporkan cuba mengelak daripada berdepan dengan pihak media selepas majlis selesai.

"Sudah-sudah saya dah beritahu, saya tak nak cakap apa-apa, saya dah serah kepada peguam, itu saja dan tidak berbaloi kalau saya bagi komen," katanya sebelum masuk ke kenderaannya dan beredar.

Mustafa pada Jumaat mengeluarkan kenyataan ringkas memaklumkan beliau enggan melayan isu berkenaan dan menyerahkan kepada peguamnya untuk mengambil tindakan lanjut.

"Saya tidak akan menjawab sebarang pertanyaan mengenai isu yang diperkatakan. Saya telah serahkan kepada peguam saya melalui Awi & Co. untuk uruskan," katanya.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam reaksinya pula menyifatkan perkara itu sebagai satu fitnah dan tidak perlu dilayan oleh parti Islam itu.

Dalam ucapannya malam tadi, Mustafa turut menuduh UMNO sebagai terdesak sehingga sanggup melemparkan fitnah untuk menjatuhkan beliau.

"Ini adalah kebiasaan Umno, mereka sanggup guna taktik kotor dengan menyebarkan fitnah... saya adalah mangsa terbaharu fitnah Umno," katanya.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan dalam kenyataan pada Jumaat kesal dengan tuduhan seperti itu yang disifatkannya tidak adil sehinggakan "tayar basikal pancit tepi jalan pun salah Umno."

Dalam perkembangan lain, 10 NGO Islam mengeluarkan kenyataan bersama menggesa umat Islam menolak sama sekali amalan politik lucah termasuk fitnah zina yang muncul menjelang PRU-13.