Pakatan Rakyat mencapai kata sepakat menentukan pembahagian kerusi dan penentuan calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Sabah serta memastikan tidak wujud pertindihan kerusi antara calon pakatan itu.

Pengerusi Parti Keadilan Sabah, Ahmad Thamrin Jaini berkata, persetujuan itu dicapai termasuk bersama parti baru, Pakatan Perubahan Sabah (PPS) dan Angkatan Perubahan Sabah (APS).

PPS yang diterajui oleh Datuk Lajim Ukin dan APS yang diketuai oleh Datuk Seri Wilfred Bumburing — kedua-duanya bekas wakil rakyat Barisan Nasional yang keluar parti — akan bertanding menggunakan simbol PKR.

"Dalam Pakatan Rakyat Sabah tidak ada pertindihan kerusi," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan ada pertembungan tiga penjura antara Pakatan Rakyat dengan BN dan parti tempatan seperti Parti Progresif Sabah (SAPP).

SAPP asalnya adalah komponen BN tetapi keluar daripada muafakat itu pada September 2008.

PKR akan bertanding 19 kerusi Parlimen dan 43 kerusi DUN termasuk kerusi yang ditandingi oleh PPS dan APS.

Lajim akan mempertahankan kerusi Parlimen Beaufort manakala Bumburing kekal calon di kerusi Parlimen Tuaran.

Sementara itu, Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan parti itu bertanding 4 kerusi Parlimen iaitu Sepanggar, Kota Kinabalu, Putatan dan Sandakan. Ia juga bertanding 8 kerusi DUN.

Pas minggu lalu mengumumkan calon-calonnya yang akan bertanding di dua kerusi Parlimen dan 9 kerusi DUN di Sabah.

Sabah mempunyai 25 kerusi Parlimen dan 60 kerusi DUN.

Pecahan kerusi Pakatan Rakyat di Sabah.

pecahan kerusi sabah