Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar pakatan pembangkang menyatakan pendirian mereka mengenai produk 1Malaysia yang diperkenalkan Barisan Nasional (BN) sekiranya menjadi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.

Muhyiddin berkata, jika mereka enggan berbuat demikian, ini bermakna dasar-dasar yang dilakukan BN adalah yang terbaik.

“Rafizi sudah buat kenyataan, dia kata kalau kami (pembangkang) menang, kami akan hapuskan BR1M,"

“Ada 200 jenis produk 1Malaysia, apakah pembangkang boleh buat kenyataan untuk hapuskan kalau mereka menang, minta Rafizi dan Guan Eng jawab,” katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat di Kampung Sri Pantai, Jalan Junid, di sini, hari ini.

Tambah Muhyiddin, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng perlu menjelaskan mengenai pelbagai bantuan yang dihulurkan BN kepada rakyat jika ia tidak memberikan apa-apa faedah.

Jelasnya, pembangkang sudah tentunya tidak akan menjawab mengenai perkara itu dan ia membuktikan bahawa produk dan dasar yang diperkenalkan kerajaan selama ini terbukti berkesan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Pada majlis berkenaan Muhyiddin turut memperkenalkan calon BN yang akan bertanding kerusi Parlimen Muar, Datuk Razali Ibrahim serta calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani Datuk Zulkhairi Ahmad dan DUN Sungai Balang Zaiton Ismail kepada pengundi setempat.

Sementara itu, Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli berkata semua dasar-dasar kerajaan akan dikaji semula oleh Pakatan Rakyat.

Beliau menyatakan program seperti BR1M akan digantikan dengan satu siri bantuan kewangan yang disasarkan kepada golongan tua, miskin dan orang kurang upaya.

Rafizi kata Pakatan merancang untuk berhentikan kempen media 1Malaysia sebab ia dikatakan "terlalu banyak dijenamakan sampai ia dilihat di setiap sudut dan ruang kerja kerajaan."

"Kita perlu buat lebih kerja seperti program edukasi, dan bukan hanya buat kempen publisiti," kata Rafizi, yang menyatakan program seperti email 1Malaysia dan pembangunan Tun Razak Exchange adalah antara projek yang Pakatan rasa tidak diperlukan.