Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dijangka mengadakan pertemuan dengan semua calon parti komponen itu yang disahkan akan bertanding di 31 kerusi Parlimen Sarawak pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada Rabu, kata Setiausaha Agung BN negeri Datuk Dr Stephen Rundi.

Beliau berkata Taib, yang menerima dokumen pencalonan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga pengerusi BN nasional di Kuala Lumpur hari ini, akan mempengerusikan mesyuarat dengan anggota majlis tertinggi BN dari empat parti komponen itu, termasuk penyandang dan muka baharu di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini.

"Kami menyerahkan kepada pengerusi BN negeri untuk memperkenal calon berkenaan pada mesyuarat itu, yang dijangka menyentuh perkembangan terbaharu persediaan kita untuk menghadapi PRU13," katanya kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, Taib yang juga Ketua Menteri Sarawak serta Presiden PBB, dijangka bertemu semua pemimpin parti komponen BN negeri di venue sama esok selepas menghadiri majlis pecah tanah projek pembinaan perumahan rakyat di Permyjaya New Township di Miri pada sebelah pagi.

PBB akan bertanding di 14 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) (tujuh), Parti Rakyat Sarawak (PRS) (enam) dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) (empat) pada PRU13, yang bakal menyaksikan satu pertiga calon BN bagi kerusi Parlimen adalah muka baharu.