Barisan Nasional (BN), dalam usaha memerangi dan menghapuskan rasuah, akan mewujudkan Mahkamah Sesyen Khas Rasuah serta menambah Mahkamah Tinggi bagi membicarakan kes rasuah.

BN dalam manifesto bertajuk 'Menepati Janji, Membawa Harapan' yang dilancar Pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini malam ini, turut berjanji melaksanakan akujanji integriti untuk anggota Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Selain itu, BN berjanji untuk mempertingkat ketelusan dalam prosedur perolehan kerajaan dengan mendedahkan kontrak kepada awam serta mewujudkan akses yang cepat terhadap Laporan Audit Prestasi Ketua Audit Negara untuk tindakan segera.

BN juga berjanji untuk memberi kuasa kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM yang akan bertanggungjawab terhadap perkhidmatan dan pengambilan petugas serta menaik taraf kedudukan Ketua Pesuruhjaya dan pegawai kanan SPRM ke satu peringkat yang lebih tinggi.