KETIKA ramai pemimpin politik sibuk berkempen di Sabah untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri itu tiga minggu lalu, Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat satu kenyataan media mengumumkan beliau mempunyai sokongan untuk mengambil alih pentadbiran negara.

23 September

Kata Anwar pada tarikh ini, beliau mempunyai sokongan yang kukuh dan menyakinkan untuk membentuk kerajaan baharu menggantikan Perikatan Nasional (PN).

Anwar juga mendakwa telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdulllah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 22 September, sehari sebelum sidang media tersebut.

"Alhamdulillah. Kini saya mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada Ahli Parlimen untuk saya persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan ingin saya nyatakan, majoriti yang menyokong juga adalah dalam kalangan Melayu dan Islam.

"Secara konklusifnya, (jumlah majoriti) kuat dan kukuh. Saya tidak bercakap mengenai empat, lima, enam (Ahli Parlimen) tapi lebih daripada itu.



"Maklumat dan langkah selanjutnya akan saya maklumkan selepas menghadap Agong dalam masa terdekat, insya-Allah," katanya ketika itu.

BACA: Kenyataan penuh Anwar Ibrahim pada sidang media khas


Namun ia terpaksa ditangguhkan kerana Yang di-Pertuan Agong menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 21 September.
BACA: Bukan kerajaan 'back door' - Anwar


Istana Negara pada 23 September turut mengesahkan bahawa pertemuan dengan Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sepatutnya diadakan pada 22 September terpaksa ditangguhkan.

Beberapa jam selepas Anwar mengumumkan mendapat sokongan yang kukuh dan menyakinkan itu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuat kenyataan bahawa beliau tidak boleh menghalang Ahli-Ahli Parlimen parti itu untuk mengambil keputusan menyokong Anwar.

"UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen yang mengambil keputusan untuk menyokong Anwar bagi menyatakan hasrat beliau," katanya.

Ahmad Zahid berkata, ramai Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasioanl (BN) telah menyuarakan sokongan.

Namun, Ahmad Zahid tidak menjelaskan secara terperinci bentuk sokongan Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN.

"Saya dimaklumkan ramai Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan sokongan. Saya menghormati pendirian Ahli-Ahli Parlimen berkenaan," ujarnya.


Sebuah portal mengeluarkan senarai 121 ahli Parlimen yang didakwa memberikan sokongan kepada Anwar namun ianya tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Selepas itu, seorang demi seorang Ahli Parlimen UMNO yang tidak memegang apa-apa jawatan dalam kabinet menafkan bahawa mereka memberikan sokongan kepada Anwar.

Ekoran dari kenyataan Zahid yang mendakwa ramai Ahli-Ahli Parlimen parti itu untuk mengambil keputusan menyokong Anwar, PAS mengeluarkan kenyataan mendesak UMNO memberi penjelasan sejelas-jelasnya berhubung dakwaan tersebut.



Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan berkata penjelasan dari UMNO itu penting memandangkan parti itu telah menandatangani persefahaman dan persetujuan yang termaktub Piagam Muafakat Nasional.

Katanya, Piagam Muafakat Nasional dizahirkan berteraskan matlamat untuk menyatupadukan umat Islam dalam negara, sekali gus berusaha mengalahkan Pakatan Harapan yang diterajui PKR, DAP dan Amanah.

“Justeru sekiranya peralihan ini benar, ianya boleh dianggap sebagai suatu gerakan yang bertujuan menjatuhkan Kerajaan Perikatan Nasional yang terbina di atas permuafakatan BN, BERSATU, PAS, GPS dan beberapa parti lain di atas kejatuhan Kerajaan PH.

“Sehubungan itu PAS berharap untuk mendapat penjelasan yang sejelas-jelasnya daripada UMNO atas dasar rakan muafakat dalam MN, seterusnya mengajak UMNO untuk kembali menghayati hasrat dan iltizam yang telah disepakati secara bersama ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Manakala bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula menggesa Anwar perlu menunjukkan bukti bahawa beliau memperoleh sokongan majoriti Ahli-ahli parlimen sebelum membuat sebarang kenyataan mengenai penubuhan sebuah kerajaan baharu.

Dr Mahathir menegaskan, tindakan Anwar bukan sahaja memberi kesan dalam kestabilan ekonomi negara malah turut akan menjejaskan imej Malaysia.

Tambah Ahli Parlimen Langkawi itu, situasi yang berlaku ketika ini amatlah membelakangkan keputusan yang dibuat rakyat terutama melalui tindakan "membeli" wakil rakyat untuk menyokong pemimpin tertentu dengan begitu mudah.

"Jadi (tindakan) ini tidak baik, tetapi kita juga terima hakikat bahawa orang yang ada majoriti boleh dapat (mentadbir negara), tapi ini belum ditunjuk, cuma dakwa ada majoriti yang banyak. Sekarang kita dapati ada yang menafi (terutama dari pemimpin UMNO), jadi keadaan tidak menentu,

"Kalau Datuk Seri Anwar ada (majoriti), buktikan bahawa dia betul cukup bilang dan kita akan putuskan perkara itu.

"Tetapi bila kita sebut sesuatu dengan tidak beri penjelasan kononnya dapat majoriti, maka ini akan timbul (kekeliruan), (dan) sebabkan keadaan tidak stabil dalam negara dan dia menjadi kesan dalam pelaburan dan sebagainya," katanya.

Hari berganti hari, ramai yang menunggu bilakah benar Anwar akan ke Istana Negara menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan sokongan yang beliau dakwa kukuh dan menyakinkan itu.

Bukan sedikit yang percaya bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu tidak mempunyai sokongan kukuh untuk membentuk kerajaan baharu. Begitulah juga sebaliknya.

Akhirnya pada 8 Oktober lalu, Anwar mengeluarkan kenyataan bahawa beliau telah diperkenan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 13 Oktober ini.

Sehari selepas itu, dalam satu mesyuarat secara sidang video, Anwar memberitahu ahli Parlimen dan ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) partinya bahawa kerajaan yang bakal ditubuhkannya ialah “kerajaan Melayu-Islam”.

Cerita tentang sokongan kepada Anwar untuk diangkat sebagai Perdana Menteri ke-9 kembali kedengaran dengan berbagai teori konspirasi.

Beberapa parti politik antaranya PAS, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membuat kenyataan bahawa mereka kekal menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN, biarpun dalam sidang medianya tiga minggu sebelum ini Anwar mendakwa mendapat sokongan Ahli Parlimen bukan parti.

Tiga Ahli Parlimen UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Seri Shahhidan Kassim dan Datuk Ahmad Nazlan Idris masing-masing dari Besut, Arau dan Jerantut membuat laporan polis bagi menegaskan mereka tidak memberi sokongan kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Idris yang juga Pengerusi Felda memberitahu media laporan polis merupakan cara terbaik untuk beliau menjelaskan pendirian serta membersihkan namanya daripada terus dikaitkan dengan presiden PKR itu.

“Saya tidak pernah dihubungi (oleh Anwar), tidak pernah memberikan sokongan (kepada Anwar) tapi dikatakan menyokong.

“Saya tidak faham. Saya sudah membuat kenyataan media sebelum ini menafikan saya menyokong Anwar namun seolah-olah tidak diendahkan,” katanya.

Esok, Selasa 13 Oktober 2020, tarikh yang ditunggu-tunggu oleh banyak pihak terutama penyokong Anwar.

Adakah 13 Oktober bakal menjadi tragedi buat Anwar atau merupakan hari penuh sejarah buat beliau yang telah lama menanti untuk diangkat sebagai perdana menteri.