Enam puluh lima ketua cawangan UMNO Bahagian Gelang Patah pada Jumaat menyatakan sokongan mereka terhadap kepimpinan Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan kepimpinan tertinggi parti.

Jurucakap cawangan terlibat Yusof Ahmad berkata mereka turut menolak sekeras-kerasnya tindakan mana-mana anggota yang mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat dan mencemarkan reputasi parti.

"Kami kecewa dengan kenyataan sesetengah pihak sebelum ini.

Sebagai ahli UMNO yang terikat dengan perlembagaan parti tidak sewajarnya berbuat kenyataan sedemikian di luar daripada saluran yang telah disediakan parti," kata beliau kepada pemberita pada sidang media di pejabat UMNO Bahagian Gelang Patah di sini malam Jumaat.

Yusuf, yang juga Ketua UMNO Cawangan Taman Impian Emas berkata mereka yang terlibat juga haruslah diambil tindakan sama ada amaran secara lisan ataupun bertulis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan beberapa ketua-ketua cawangan dari lapan bahagian di Johor termasuk ketua cawangan dan anggota UMNO Bahagian Gelang Patah.

Pada 23 Nov, beberapa ketua cawangan UMNO daripada beberapa Bahagian UMNO di Johor tampil mempertikaikan kepimpinan dan mendesak presiden parti yang juga perdana menteri supaya meletakkan jawatan.

Yusuf yang hadir bersama 46 ketua cawangan UMNO Bahagian Gelang Patah pada malam tadi, berkata teguran-teguran terhadap sesuatu isu perlulah mengikut tatacara yang dibenarkan oleh perlembagaan parti.

"Sehubungan dengan itu, tiada keperluan kepada ahli untuk menggunakan forum lain lebih lagi secara di luar batasan, tidak beretika dan tidak beradab. Kami inginkan perpaduan dan kekuatan parti dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang. Maka kami menolak sebarang tindakan dan usaha mana-mana ahli dan pihak tertentu yang boleh mewujudkan perpecahan dalam parti," kata beliau.

Selain itu, mereka juga membantah keras mana-mana kenyataan khususnya anggota UMNO yang mengeluarkan kenyataan "menggantung" atau "didesak meletakkan jawatan" atau seumpamanya dalam masa dan keadaan mendahului kuasa yang ada pada Majlis Tertinggi UMNO.