Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad kecewa dengen segelintir pihak yang memutar belit keputusan Muktamar PAS melibatkan hubungan bersama parti DAP.

“Ada yang menghuraikan dengan panjang lebar tentang Perlembagaan PAS, tetapi usul yang mereka fahami adalah bukan usul yang diluluskan oleh muktamar.

“Saya tidak tahu kenapa keputusan muktamar diputar belit begitu rupa,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Beliau menjelaskan bahawa usul berkenaan tidak menuntut muktamar memutuskan hubungan, tetapi mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Pusat untuk membuat keputusan tersebut.

“Itulah keputusan muktamar agar dibawa ke Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Pusat Keputusan pun belum dibuat.

“Tetapi ada pihak yang mengambil keputusan untuk membakul sampah keputusan muktamar itu dengan mengumumkan perkata yang tidak diputuskan oleh muktamar.

“Mereka mengatakan muktamar telah memutuskan hubungan dan berhujah bahawa keputusan muktamar perlu dipatuhi,” katanya.

Pada 13 Jun, Dewan Ulamak PAS Pusat telah memuat naik teks usul berkenaan di Facebook bagi menjelaskan keputusan itu.

Pada perenggan terakhir, usul itu bertulis: “Maka Muktamar Dewan Ulamak PAS kali ke-54 mencadangkan kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat supaya hubungan kerjasama politik dengan DAP dibatalkan dan PAS terus kekal dalam Pakatan Rakyat.”


PAS
Usul Tahaaluf Siyaasi Dengan PAS yang dimuatnaik di Facebook. -Facebook/Dewan Ulamak PAS Pusat