Menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH) mempunyai 'WhatsApp group', kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata demikian bagi menjawab sindiran bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa menteri PH tidak mempunyai WhatsApp group untuk berkomunikasi.

"Ada, WhatsApp banyaklah," katanya pada sidang media selepas melancarkan buku yang ditulis Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad bertajuk "9 Mei 2018 - Dari Garis Depan".

Pada Sabtu, Najib yang digelar 'Raja Troll' dalam satu kenyataan di Facebooknya memuat naik berita yang memetik menteri kewangan Lim Guan Eng sebagai terkejut dengan pengumuman Datuk Seri Azmin Ali berhubung penamatan kontrak pemaju projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

"Betullah, mereka tak ada WhatsApp group. Tapi sejak tahun 1876 dah ada telefon," kata Najib yang berkongsi nombor telefon pejabat kedua-dua menteri kabinet PH itu.

"Sekurang-kurangnya telefonlah sekali sekala," sindir Najib.