Skip to main content

Teknologi

Google pertimbang ganjaran kepada penerbit jika kandungan digunakan AI

Google kini dilihat menguji sebuah ciri baharu melibatkan perkhidmatan dan ciri kecerdasan buatan mereka, iaitu membayar para penerbit kandungan sekiranya kandungan mereka digunakan dalam paparan di AI Mode, AI Overviews atau pada Gemini. Google melabelkan perkara ini sebagai “AI Contribution” atau “Sumbangan AI”, dan dilihat diuruskan melalui Google Search Console.
Melalui pendekatan tersebut, pemilik atau penerbit kandungan masih berpeluang menjana pendapatan daripada Google meskipun tidak menerima klik secara langsung daripada pengguna yang membuat carian di web. -Foto Amanz
Advertisement

MOUNTAIN VIEW: Google dilaporkan sedang menguji satu ciri baharu yang membolehkan pembayaran dibuat kepada penerbit kandungan sekiranya artikel mereka digunakan dalam paparan kecerdasan buatan (AI) syarikat itu.

Inisiatif yang dilabel sebagai AI Contribution atau Sumbangan AI itu dilaporkan akan diuruskan menerusi platform Google Search Console, lapor Amanz.

Melalui pendekatan tersebut, pemilik atau penerbit kandungan masih berpeluang menjana pendapatan daripada Google meskipun tidak menerima klik secara langsung daripada pengguna yang membuat carian di web.

Mekanisme perkongsian hasil itu difahamkan akan diaktifkan sekiranya maklumat daripada artikel penerbit digunakan untuk menjana jawapan bagi ciri AI Mode, AI Overviews atau menerusi aplikasi Gemini.

Setakat ini, Google hanya memberikan akses kepada beberapa penerbit terpilih memandangkan projek berkenaan masih berada pada peringkat ujian rintis.

Bagaimanapun, butiran lanjut mengenai mekanisme pengiraan bayaran serta pelaksanaannya mengikut negara masih belum diperincikan secara rasmi.

Bagi kebanyakan penerbit kandungan digital, pengenalan mekanisme bayaran kepada penerbit ini dilihat berpotensi membantu mengekalkan sumber pendapatan ketika penggunaan teknologi kecerdasan buatan semakin meluas.

Must Watch Video

Advertisement