BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan pelantikan Timbalan Perdana Menteri yang masih berdepan pendakwaan mahkamah.

Menerusi entri terbaharu di akaun Twitter, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu berpendapat perlu satu bentuk reformasi terhadap jawatan tersebut.

Jelasnya, ini berlandaskan ketidakselarasan peruntukan di bawah Perkara 33A Perlembagaan Persekutuan.

"Ketika saya sedang mengimbas Perlembagaan Persekutuan, tiba-tiba saya mendapati ketidakselarasan peruntukan di bawah Perkara 33A.

"Ia berbunyi seperti berikut: Yang di-Pertuan Agong hendaklah terhenti menjalankan fungsi Yang diPertuan Agong jika dipertuduh atas suatu kesalahan.

"Ia jelas sekali menunjukkan bahawa pertuduhan atas sebarang kesalahan adalah sangat serius sehingga seseorang seperti Yang di-Pertuan Agong perlu menghentikan fungsi sebagai Ketua Negara.

"Pada masa sama, ia tidak menyatakan bahawa baginda perlu didapati bersalah sebelum baginda menghentikan tugasnya.

"Ia secara jelas menyatakan sudah didakwa juga cukup serius untuk perlembagaan menetapkan pemberhetian fungsinya," ujar beliau.


Justeru, Dr Mahathir mempersoalkan bagaimana pula pemimpin yang lebih rendah kedudukannya berbanding Yang di-Pertuan Agong seperti Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Tanpa menamakan mana-mana individu, Dr Mahathir turut mempersoalkan, sekiranya individu tersebut berdepan pendakwaan sehingga lebih 40 pertuduhan namun dilantik menggalas jawatan tersebut.

"Adakah TPM sepatutnya diberi layanan lebih baik berbanding YDPA?" soalnya.


Mengakhiri entri tersebut, Dr Mahathir dengan nada berseloroh menulis agar diabaikan sahaja penulisannya itu kerana beliau mahu kembali menjaga cucunya.