ADUN Karambunai sokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah - Tuan Ibrahim

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan serta perundingan melibatkan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi PN di Kuala Lumpur pada Selasa. - Gambar fail/BERNAMA
KUANTAN: Pas memutuskan untuk membenarkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karambunai Datuk Aliakbar Gulasan untuk menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.
Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keputusan itu dibuat hasil perbincangan serta perundingan melibatkan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam Mesyuarat Pimpinan Tertinggi Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur pada Selasa.
"Walaupun kami tidak berada dalam konteks pembentukan kabinet di Sabah, pendirian Pas adalah untuk mendokong dan menyokong kepimpinan Hajiji sebagai Ketua Menteri," katanya selepas menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Aliakbar yang bertanding atas tiket Pas berjaya memenangi kerusi DUN Karambunai dengan meraih 7,054 undi dalam pertandingan 11 penjuru, sekali gus menewaskan penyandang kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Yakub Khan.
Tuan Ibrahim berkata beliau yakin dengan pengalaman Hajiji serta sokongan Pas terhadap kepimpinan kerajaan negeri mampu memperkukuh pentadbiran Sabah.
"Saya yakin hubungan baik Aliakbar dengan Hajiji dapat memudahkan beliau (Aliakbar) melaksanakan tugas sebagai ADUN yang dipilih rakyat Karambunai," katanya.
Ditanya sama ada keputusan itu bertentangan dengan kenyataan dibuat Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, Tuan Ibrahim berkata isu itu tidak timbul kerana ADUN Karambunai adalah daripada Pas.
"Tidak ada dan kami pun dah maklumkan perkara ini dalam mesyuarat PN," katanya.
Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata PN mengambil ketetapan bahawa Aliakbar kekal sebagai wakil rakyat pembangkang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


