KOTA BHARU: Calon Pas yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pada pilihan raya negeri (PRN), Sabtu lalu, selamat mendirikan rumah tangga kali kedua dengan pasangannya, Selasa lalu.

Wan Roslan Wan Hamat, 57, yang juga Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan itu diijabkabulkan dengan pilihan hati, Nurfariza Mhd Hassan, 38.

Wan Roslan berkata, majlis pernikahan mereka berlangsung di sebuah hotel di sini selepas beliau selesai mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan pada hari sama.

“Isteri saya berasal dari Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Khamis.

Sebelum itu, gambar pasangan mempelai itu tular selepas Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff memuat naik status ucapan tahniah kepada mereka di Facebook pada Rabu malam.

Akhbar sebelum ini melaporkan, isteri terdahulu beliau, Wan Norihan Wan Ab Rahman, 54, meninggal dunia akibat paru-paru berair di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, pada Julai 2022.

Pada PRN itu, Wan Roslan meraih 14,043 undi dengan majoriti 6,040 undi mengalahkan Zulkifli Abdullah (Barisan Nasional) yang mendapat 8,003 undi. - Sinar Harian