Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah menafikan dakwaan beliau atau mana-mana anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) diminta menandatangani surat sumpah setia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Tegasnya, kesetiaan Ahli Parlimen BN kepada parti tidak boleh dipertikai dan tidak sama dengan kaedah perjanjian seperti yang dibuat PAS.

"Saya ingin nyatakan setahu saya tidak ada perjanjian yang terkini dibuat dan perlu ditandatangani oleh saya atau mana mana Ahli Parlimen BN yang saya tahu setakat ini.

"Sudah tentu kesetiaan Ahli Parlimen BN tidak diikat dengan sebarang bentuk perjanjian atau Bai'ah sebagaimana PAS.

"Pada kita yang penting adalah parti, dan kesetiaan kita pada Perdana Menteri berprinsipkan kesetiaan dan perjuangan. Malah BN sudah berpengalaman, kita punyai kaedah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi," jelasnya semasa dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said meminta semua Ahli Parlimen BN supaya membuat deklarasi terbuka bagi menunjukkan kesetiaan mereka kepada parti.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata, tindakan itu bertujuan menghentikan semua spekulasi dan masalah berbangkit.

Bagaimanapun kata Shamsul, sebagai anggota BN, beliau akan akur dengan apa juga keputusan parti.

Mengulas isu yang sama, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim memaklumkan sehingga kini tidak menerima sebarang arahan berhubung perkara tersebut.

"Tidak, saya tidak menerima apa-apa pun," katanya.

Bagaimanapun beliau sentiasa menyokong kepimpinan Perdana Menteri walaupun tanpa surat sumpah setia berkenaan.

"Sebagai Ahli Parlimen BN kita berpegang teguh kepada kesetiaan kepada parti yang diwakili dan pemimpin yang memimpin kita. Ia tidak membelakangkan dan juga sabotaj BN. Itu prinsip kita dipilih rakyat berdasarkan BN.

"Ini merupakan imej dan maruah BN. Bukan hanya negara kita tapi juga di luar negara. Ini yang perlu diyakini oleh Ahli Parlimen parti itu," ujarnya.

Ditanya sama ada surat sumpah setia kepada Perdana Menteri adalah satu keperluan, ini jawapan Irmohizam;

"Surat sumpah setia ini tidak pernah (dilakukan) lagi, tapi kalau surat akujanji tu biasa. Saya kena lihat dulu isi kandungan surat tersebut."

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mendedahkan ada 'tokoh tertentu' daripada kalangan parti pemerintah yang ingin menggulingkan kerajaan.

Ahmad Zahid turut mendedahkan kewujudan komplot untuk menarik 37 anggota Parlimen BN menyertai 87 pembangkang serta seorang anggota Parlimen Bebas.