KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal membuat keputusan menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kehendaknya sendiri.

Jurucakap Kerajaan Fahmi Fadzil berkata wakil rakyat daripada Perikatan Nasional itu tidak dipaksa dalam apa-apa cara untuk berbuat demikian.

Menteri Komunikasi dan Digital itu juga menafikan dakwaan bahawa Syed Abu Hussin Hafiz menyokong kerajaan kerana menerima peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta untuk kawasan yang diwakilinya, yang didakwa diminta oleh beliau.

"Saya tidak fikir begitu. Beliau tidak mendapat RM30 juta. Saya pun tak dapat sebanyak itu... Saya rasa apa yang beliau maksudkan ialah mengutamakan inisiatif dan projek tertentu untuk menyelesaikan masalah yang berlarutan di kawasannya," kata beliau pada sidang media di sini hari ini.,

Syed Abu Hussin Hafiz hari ini secara terbuka mengisytihar menyokong Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Beliau menjadi wakil rakyat pembangkang kelima daripada Bersatu yang menyatakan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Fahmi turut menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bahawa terdapat unsur rasuah dalam perubahan mendadak sokongan oleh lima Ahli Parlimen Bersatu.

Beliau berkata Dr Mahathir sebagai penasihat pembangkang sepatutnya menasihati Ahli Parlimen di bawah bidang kuasanya untuk berunding dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berhubung peruntukan dana kepada Ahli Parlimen pembangkang.

"Saya rasa beliau tidak memberikan nasihat yang baik kepada mereka ... saya mohon Tun (Mahathir) untuk menasihati mereka (Ahli Parlimen pembangkang) datang ke meja rundingan... capai kata putus supaya kita selesaikan isu ini dan hidup aman damai," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata prestasi dan pencapaian semua kementerian selepas setahun Kerajaan MADANI menerajui Putrajaya akan diumumkan kepada orang ramai.

Beliau berkata 'kad laporan' akan dipamerkan semasa sambutan Setahun Bersama Kerajaan MADANI pada 8 hingga 10 Dis.

-- BERNAMA