KUALA LUMPUR: Hari ini ahli-ahli Parlimen akan kembali ke bangunan Parlimen bagi menghadiri mesyuarat khas selepas persidangan ditangguhkan sejak awal tahun ekoran pandemik COVID-19 yang kini mencecah sejuta kes.

Buat pertama kali, Ahli Parlimen akan berkumpul di bawah satu bumbung bagi mendengar penerangan, mengajukan soalan dan membahaskan beberapa perkara berkaitan proklamasi darurat dan langkah-langkah kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata, mesyuarat khas Parlimen akan bermula pada pukul 10 pagi hingga 5.30 petang.

Kesemua 220 Ahli Parlimen dibenar menghadiri mesyuarat khas penggal ketiga Parlimen ke-14 yang berlangsung di Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat mengandungi 222 kerusi Parlimen, namun ketika ini ia hanya mempunyai 220 anggota Parlimen selepas dua daripada Ahli Parlimen meninggal dunia.

Mengenai agenda perbincangan persidangan khas Dewan Rakyat itu, Azhar berkata usul lain selain daripada perkara yang telah ditetapkan oleh perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam aturan mesyuarat, tidak akan dibincangkan.

Jelas beliau, berbeza dengan persidangan yang biasa, mesyuarat khas Dewan Rakyat dibuat berdasarkan Peraturan 11(3) dalam peraturan-peraturan majlis mesyuarat Dewan Rakyat yang membolehkan perdana menteri mengadakan sidang khas dengan urusan mesyuarat itu ditetapkan oleh perdana menteri sendiri.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan, mesyuarat khas Parlimen itu bertujuan memberi penerangan kepada ahli-ahli Parlimen mengenai pelan pemulihan negara (PPN) dan semua proklamasi darurat serta ordinan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Persidangan Parlimen belum diadakan tahun ini berikutan perisytiharan darurat untuk seluruh negara pada 12 Januari dan berkuat kuasa hingga 1 Ogos dalam usaha mengekang penularan wabak COVID-19.

Bagaimanapun pada Jun, Yang di-Pertuan Agong al-Sultan Abdullah Riayatuddin Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan PPN dan pelaksanaan Ordinan Darurat 2021 dibahas ahli-ahli Dewan Rakyat.

Turut dijadualkan ialah pembentangan Proklamasi Darurat (mengenai pilihan raya Parlimen Gerik, Perak; pilihan raya negeri Bugaya, Sabah) serta penerangan daripada menteri-menteri berhubung PPN, program vaksinasi, pelaksanaan darurat, dan pakej-pakej bantuan ekonomi.

Mesyuarat  khas kali ini turut menarik perhatian apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukan sahaja hadir sebagai Menteri Kanan Pertahanan, tetapi juga sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas dilantik ke jawatan tu pada 7 Julai.

Dalam pada itu, mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-14 dijadual bermula pada 6 hingga 30 September selama 15 hari dengan istiadat pembukaan akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Manakala mesyuarat kedua dijadual selama 32 hari bermula 25 Oktober hingga 16 Disember.