Desas-desus yang mengatakan bahawa Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli bakal meninggalkan UMNO akhirnya terjawab apabila beliau bertindak keluar daripada parti keramat Melayu itu untuk menyertai Parti Warisan, berkuat kuasa hari ini.

Rozman yang menjadi wakil rakyat sejak 2013 berkata keputusan ini dibuat setelah mengambil kira faktor keadaan semasa ekonomi Labuan yang telah mengalami kemerosotan.

Tambahnya, tindakan ini adalah bagi memenuhi harapan rakyat yang terkesan dengan kejatuhan industri Minyak dan Gas di Labuan.

"Setelah berfikir panjang dan membuat penilaian mengenai pandangan daripada ramai pihak, hari ini saya mengumumkan bahawa saya menyertai parti Warisan dan akan menyerahkan permohonan masuk parti.

"Labuan ini sangak unik berbanding kawasan lain, justeru keputusan untuk keluar parti adalah satu keputusan yang perlu dibuat sebab perubahan besar dalam landskap politik negara ini sebenarnya melahirkan satu peluang besar kepada Labuan untuk kita memperbetulkan apa yang kita rasakan selama ini banyak kekangan," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Lapangan Terbang Labuan, di sini, hari ini.

Menurut Rozman, beliau memilih untuk menyertai Parti Warisan kerana melihat kepada peluang dan sokongan yang diberi oleh parti tersebut dalam membangunkan pulau bebas cukai ini.

"Parti Warisan merupakan satu peluang untuk Labuan dan saya yakin parti ini mampu merancakkan lagi sektor ekonomi di Labuan yang semakin bergerak perlahan sejak beberapa tahun.

"Saya turut melihat parti Warisan berminat dengan Labuan dan pada pilihan raya lepas juga, parti ini telah meletakkan calon Warisan di sini dan hampir menang. Itu menunjukkan rakyat Labuan melihat kepada 'angle' yang sama," katanya.

Tambahnya, Labuan akan terus kekal bersama Wilayah Persekutuan dan hanya perlu 'dekat' bersama negeri Sabah dan Sarawak bagi mengukuhkan lagi keadaan ekonomi dan politik semasa.

Terdahulu, lima anggota Parlimen mengambil keputusan meninggalkan UMNO antaranya Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Seri Anifah Aman; Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed; dan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Syed Abdul Fasal.

Untuk rekod, Parti Warisan Sabah kini mempunyai sembilan Ahli Parlimen.