KUALA LUMPUR: Titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung isu kestabilan kerajaan perlu diambil serius oleh ahli-ahli politik.

Menurut Penganalisis Politik, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, ahli politik harus sedar bahawa perkara yang dititahkan oleh Sultan Ibrahim merupakan kegusaran baginda terhadap masa depan negara dan rakyat jika suasana politik terus tidak stabil.

Beliau juga mengingatkan ahli politik bahawa Sultan Ibrahim merupakan bakal Yang di-Pertuan Agong selepas ini, maka kegusaran yang dititahkan bermaksud baginda mahu mewarisi negara stabil demi kemakmuran bersama.

"Sultan Johor sendiri bersuara dan kita tahu Sultan Johor ini merupakan pewaris selepas ini bermakna baginda tidak mahu mewarisi negara ini dalam keadaan kemelut politik tanpa henti.

"Baginda mahu mewarisi negara ini dalam keadaan yang stabil dan harmoni dan kita boleh bergerak ke hadapan.

"Harus diingat raja adil itu raja disembah dan adalah adil untuk Sultan Johor membuat teguran berhubung perkara ini kerana baginda mahukan kestabilan kepada negara," katanya kepada Astro AWANI.

Ahmad Zaharuddin juga menjelaskan keadaan politik yang tidak stabil ini akan menyebabkan negara dan rakyat kerugian kerana pelabur tidak datang ke negara ini.

Beliau juga berpendapat, terdapat segelintir pihak yang menjadi 'racun' kepada negara dan mengadu domba hingga berlakunya tindakan menjatuhkan kerajaan.

"Mereka inilah yang mengadudombakan dan mengatakan bahawa golongan-golongan tertentu harus turun dan golongan-golongan yang mereka sokong dan mereka anjur ini harus naik ke atas.

"Harus diingat kenapa perkara ini berlaku, kemungkinan besar adalah kerana keuntungan-keuntungan yang boleh diperolehi jika ada golongan-golongan tertentu naik memimpin negara," katanya lagi.

Pada Rabu, Sultan Ibrahim menyuarakan kebimbangan susulan desas-desus berhubung isu kestabilan kerajaan yang terus kedengaran meskipun sudah enam bulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berlalu.

Sultan Ibrahim menitahkan supaya rakyat, ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran negara seharusnya perlu diutamakan.