Beberapa orang anggota dewan undangan negeri berpendapat Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merupakan pilihan yang tepat untuk merajui kerajaan negeri Kedah dan mengukuhkan pengaruh UMNO dan Barisan Nasional.

Menurut mereka, dengan pengalaman selama lima penggal sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata sejak 1995, dua penggal sebagai Exco kerajaan negeri serta sebagai Timbalan Menteri Persekutuan sejak 2013, Ahmad Bashah bukan pilihan tangkap muat bagi menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Malah, dalam parti juga, beliau adalah watak penting merampas kembali Kedah daripada pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013, kata mereka.

Exco Kerajaan Negeri Datuk Tajul Urus Mat Zin berkata: "Beliau berpengalaman, bertanggungjawab dan dengan latar belakang cemerlang, beliau mampu untuk menyatukan semula parti.

"Saya yakin rakyat Kedah akan bersama beliau dalam menerajui Kedah."

Exco Kanan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata: "Saya yakin beliau akan mampu memenangi hati rakyat."

Ahmad Bashah turut diyakini mampu mentadbir negeri dengan baik, terutama membawa Kedah merealisasikan agenda pembangunan dari sudut ekonomi, melalui bantuan kerajaan Persekutuan, katanya.

ADUN Bukit Kayu Hitam Datuk Ahmad Zaini Japar berkata Ahmad Bashah mampu menyatupadukan dan merapatkan hubungan silaturahim dalam kalangan anggota dan pemimpin UMNO.

Katanya Ahmad Bashah diuji pada PRU-13 (2008) selepas negeri ini diperintah oleh PAS dan telah bekerja keras untuk merampas kembali negeri ini daripada PAS.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi MCA Kedah Datuk Dr Leong Yong Kong berkata Ahmad Bashah selaku ahli politik senior di Kedah mampu merapatkan hubungan antara parti-parti komponen BN dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Tempoh dua tahun ini akan menguji beliau untuk kembali menarik sokongan rakyat Kedah bagi mengekalkan BN sebagai peneraju kerajaan negeri.

"Saya yakin pelantikan Datuk Seri Ahmad Bashah akan dapat meneruskan kelangsungan politik BN di Kedah," katanya.