Wanita UMNO berharap Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan dapat memimpin parti dengan baik.

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata dua pemimpin penting dalam BN itu diharap akan dapat mengekalkan kestabilan parti berkenaan.

"Wanita UMNO berharap mandat yang diberikan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Naib Presiden UMNO untuk menjalankan tugas Presiden UMNO, dibantu oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Naib Presiden UMNO, untuk menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden akan dapat memberi kepimpinan yang jitu kepada UMNO dan menentukan kestabilan dalam UMNO dapat dikekalkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Hishammuddin mahu lihat kepimpinan baharu dalam UMNO

Wanita UMNO juga mengucapkan terima kasih serta menghormati dan menerima keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional.

"Datuk Seri Najib Tun Razak telah berkhidmat di bawah kepimpinan Allahyarham Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan juga semasa beliau sendiri menjadi Perdana Menteri, dan telahpun memberikan sumbangan kepada negara," ujarnya.

BACA: Najib Razak letak jawatan Presiden UMNO, Pengerusi BN

Pada masa sama, pergerakan itu menerima dengan tenang keputusan rakyat yang mahukan perubahan kerajaan dan kepimpinan negara.

"Oleh itu, setiap ahli UMNO juga perlu muhasabah diri bagi membolehkan pembaharuan dan perubahan yang dituntut oleh rakyat turut dilaksanakan di dalam UMNO," kata beliau.

Najib mengumumkan peletakan jawatan Presiden UMNO dan Pengerusi BN serta-merta dalam satu sidang media khas di Bangunan UMNO, di PWTC.