PONTIAN: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah berusaha sebaiknya bagi mendapatkan pengampunan penuh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Menurutnya, UMNO kini memberikan tumpuan terhadap usaha mendapatkan pengampunan penuh bagi Najib yang masih mempunyai peluang.

"Ahmad Zahid telah melakukan banyak perkara, tidak semua boleh dinyatakan di depan khalayak ramai. Semalam, menerusi mesyuarat MKT, Ahmad Zahid sudah menjelaskan semua perkara yang dilakukan bagi pengampunan penuh Najib.

"Petang ini juga, Ahmad Zahid akan menjelaskan segala usaha yang dilakukan di hadapan 191 ketua UMNO bahagian, ketua wanita, ketua pemuda, ketua puteri, Exco-exco wanita, pemuda dan puteri bahagian di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC)," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya seterusnya menafikan dakwaan terdapat usaha menggulingkan Ahmad Zahid oleh ketua-ketua UMNO Bahagian.

"Tidak benar, itu cuma cucukkan daripada pihak-pihak yang ingin memecahbelahkan UMNO. Pertemuan dengan kesemua bahagian UMNO pada petang ini, hasil daripada perbincangan mesyuarat MKT pada Jumaat.

"Pertemuan pada petang ini, cukup penting bagi menjelaskan kedudukan sebenar pengampunan penuh dan usaha yang telah dilakukan UMNO," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan tapak projek bagi naik taraf Hospita Pontian di sini pada Ahad.

Pada Sabtu, UMNO dilaporkan akan mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi mendapatkan pengampunan penuh Najib.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Urusetia Lembaga Pengampunan pada Jumaat, jumlah denda yang perlu dibayar oleh Najib turut dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib, 70, yang meringkuk di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, telah memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi telah menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mendapati beliau bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah jenayah serta satu pertuduhan salah guna kedudukan.

Rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman itu telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2021 dan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 yang menyaksikan pengampunan diraja adalah satu-satunya harapan beliau untuk membebaskan diri. - Sinar Harian