Skip to main content

Malaysia

Pemandu kereta rempuh pasangan suami isteri dituduh esok

51733742339_TBGAVEL.jpg
Seorang pemandu yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan pasangan suami isteri di Jalan Ampang pada 2 Mei lepas akan didakwa atas tuduhan membunuh di mahkamah, esok. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu yang terlibat dalam kemalangan maut membabitkan pasangan suami isteri di Jalan Ampang di sini pada 2 Mei lepas akan didakwa atas tuduhan membunuh di mahkamah, esok.

​Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa dalam kenyataan hari ini berkata lelaki berusia 24 tahun itu akan menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Suspek dilaporkan direman tujuh hari bermula 5 hingga 11 Mei lepas, sebelum disambung lima hari lagi hingga esok.

Dalam kejadian pada 5.34 pagi itu, pasangan suami isteri masing-masing berusia 61 dan 56 tahun maut di tempat kejadian selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta jenis Toyota Vios dari belakang.

Polis turut menjalankan ujian toksikologi terhadap sampel darah dan air kencing suspek bagi mengenal pasti sama ada lelaki itu memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah, namun masih menunggu keputusan makmal.

-- BERNAMA

Must Watch Video