PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini mengesahkan menerima beberapa dokumen serta rakaman video daripada bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Mohd Hafaz Nazar berkata, bahan tambahan berkenaan bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan pelaburan bernilai RM1.1 bilion antara kerajaan dan syarikat Arm Holdings plc.
Beliau dalam kenyataan berkata, Rafizi hadir bersama lima orang peguam kira-kira jam 10 pagi tadi.
"Kehadiran Rafizi hari ini ke SPRM adalah untuk menyerahkan beberapa dokumen dalam bentuk cetakan serta rakaman video di dalam alat pemacu kilat USB, yang dikatakan berkaitan dengan syarikat Arm Holdings di United Kingdom (UK).
"Serahan dokumen-dokumen tersebut adalah secara sukarela dan ia adalah untuk membantu siasatan yang dilakukan terhadap beliau (Rafizi)," kata beliau.
Menurut Mohd Hafaz, SPRM turut mengambil keterangan tambahan daripada Rafizi dan proses tersebut selesai kira-kira jam 1.30 petang.
Sebelum itu, Rafizi ketika ditemui media di luar Ibu Pejabat SPRM, di sini memaklumkan sebanyak 28 item diserahkan bagi membantu SPRM menyiasat secara menyeluruh kes berkenaan.
Pada 7 Mei lalu, Rafizi selesai memberi keterangan di ibu pejabat SPRM selepas empat hari berturut-turut hadir bagi membantu siasatan kes berkenaan.
SPRM memaklumkan seramai 22 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.