Tindakan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi tempoh seminggu kepada Ronnie Liu untuk memohon maaf, dilihat sesuatu yang tidak patut dilakukan kerana ia bersifat kebudak-budakan, dan tidak membantu Pakatan Harapan.

Pengerusi Jawatankuasa Displin DAP Chong Chieng Jen berkata, DAP merupakan parti yang sentiasa menerapkan amalan displin dalam kalangan ahlinya, dan hanya mereka yang berhak tentukan tindakan jenis apa dikenakan ke atas ahli parti itu.

“Kami mempunyai standard yang tinggi mengenai displin, termasuk prosedur dalaman dalam menguatkuasakan displin,

“Ketika kami bersikap terbuka dalam menerima sebarang aduan mengenai sebarang salah laku ahli kami, kami ingin menegaskan tiada sesiapa yang boleh menentukan tindakan jenis apa atau bila yang kami akan kenakan terhadap ahli kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chong, yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, jawatankuasa itu telah pun menerima aduan mengenai kenyataan Liu, dan siasatan telah pun bermula.

BACA: Kenyataan biadab: Armada Bersatu beri tempoh seminggu kepada Ronnie Liu atau...

BACA: Kenyataan Ronnie Liu biadab, tidak hormati Perdana Menteri - Bersatu

BACA: Bersatu perlu kaji kerjasama politik dengan DAP - Mohd Rafiq

BACA: 'Tindakan Ronnie Liu biadap' - Maszlee gesa pimpinan DAP disiplinkan ahli

Akan tetapi, tegasnya lagi, Jawatankuasa Displin DAP melihat kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pemuda Bersatu, serta sayap Armada tidak patut berlaku, dan tidak boleh berulang.

“Kita semua sudah bekerja keras untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, dan seterusnya membentuk kerajaan ini, dan ianya mustahil tanpa sokongan padu rakyat Malaysia.

“Jadi mari kita menumpukan segala tenaga dan usaha untuk memastikan segala agenda reformasi terlaksana, agar Malaysia menjadi negara yang lebih baik, bukan terganggu dengan isu displin serta sikap keanak-anakan dalam Pakatan Harapan,” katanya lagi.