Skip to main content

Politik

AMK betulkan Tuan Ibrahim, PKR masih miliki lebih banyak kerusi berbanding UMNO

Danish Hairudin & Tuan Ibrahim_Astro AWANI
Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin (kiri) berkata, PKR memenangi 31 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), manakala UMNO memperoleh 26 kerusi. - Gambar fail/Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) membetulkan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung jumlah kerusi Parlimen yang dimiliki PKR berbanding UMNO.

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, PKR memenangi 31 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), manakala UMNO memperoleh 26 kerusi.

Menurutnya, selepas tiga Ahli Parlimen PKR mengosongkan kerusi, parti itu masih mempunyai 28 wakil rakyat, berbanding 26 yang dimiliki UMNO.

“Jadi, kalau matematik kerusi yang mahu dijadikan ukuran, PKR masih lebih banyak daripada UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Danish berkata demikian sebagai respons terhadap kenyataan Tuan Ibrahim yang mendakwa PKR menumpang kekuatan UMNO dan perlu melihat jumlah kerusinya sebelum memberi kata dua kepada parti itu.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan tindakan Tuan Ibrahim yang disifatkannya terlalu bersungguh-sungguh mempertahankan UMNO.

“Sejak bila Pas dilantik menjadi jurucakap UMNO? Atau sekarang Pas merasakan mereka lebih besar daripada UMNO sehingga boleh bercakap bagi pihak UMNO?” soalnya.

Danish turut mendakwa pendirian itu bercanggah dengan kenyataan Tuan Ibrahim sebelum ini bahawa konsep ‘abang besar’ atau ‘adik kecil’ tidak seharusnya wujud dalam rundingan antara Pas dengan UMNO.

“Bila mahu bekerjasama dengan UMNO, katanya jangan ada abang besar. Bila mahu menyerang PKR, tiba-tiba UMNO pula menjadi abang besar. Politik Pas ini ikut prinsip atau ikut musim?” katanya.

Beliau menegaskan, sekiranya UMNO mempunyai masalah dengan PKR, perkara itu sepatutnya disuarakan sendiri oleh barisan kepimpinan parti berkenaan.

“UMNO belum sampai tahap memerlukan Pas menjadi jurucakap tidak rasmi mereka,” katanya lagi.

Semalam, Tuan Ibrahim dilaporkan berkata, PKR tidak wajar memberi kata dua kepada UMNO untuk memilih sama ada kekal dalam Kerajaan MADANI atau beralih menyokong Perikatan Nasional kerana parti itu sendiri dilihat menumpang kekuatan UMNO.

Must Watch Video

Advertisement