Naib Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong dinasihat tidak terikut-ikut rentak dan cara pemimpin DAP berpolitik dengan mempertikai perkara 153 di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak berkata, Yong perlu memikirkan cara yang lebih berkesan daripada menyentuh sensitiviti orang Melayu seandainya mahu undi rakyat khususnya pengundi bukan Melayu.

"Kenyataan Yong yang menyarankan agar perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dipertimbangkan semula adalah tidak wajar.

"Yong hendaklah mendukung semangat ketinggian Perlembagaan. Mengapa mesti mempertikai perkara-perkara yang sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, lagi-lagi berkaitan hak istimewa dan kedudukan orang Melayu? Perkara 153 tidak pernah menjejaskan dan menafikan hak rakan-rakan dari kaum lain.

"Kenyataan Yong seolah-olah mencabar pendirian parti UMNO yang selama ini merupakan sebuah parti yang mempertahankan hak dan keistimewaan orang Melayu seperti yang dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Yong dalam kenyataannya seperti disiarkan sebuah portal mendakwa Perkara 153 perlu dipertimbangkan semula sejajar dengan kedudukan orang Melayu masa kini.

Yong juga mahu penilaian meritokrasi dan bantuan kepada orang Melayu selama ini perlu dikaji semula kerana peruntukan itu sudah tidak lagi relevan.

Dalam pada itu tegas Ibdilillah, pandangan Yong itu seperti mencabar asas yang menyatukan Barisan Nasional (BN) selama ini.

"Kita minta Yong berhenti mempertikai perkara yang sudah tersimpul mati di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Yong perlu segera menarik balik kenyataan tersebut kerana bimbang kenyataannya boleh menjejaskan semangat setiakawan dalam BN dan membangkitkan kemarahan ramai pihak," jelasnya.