Skip to main content

Politik

Angka ekonomi menakjubkan tak bermakna jika naratif gagal tawan jiwa rakyat - Anwar

ALOR GAJAH, 7 Ogos -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada majlis Perasmian Karnival Gelombang MADANI Masjid Tanah di Kompleks Sukan Masjid Tanah, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA   ALOR GAJAH, Aug 7 -- Prime Minister Datuk Seri Anwar Ibrahim delivers his speech during the officiating ceremony of the Karnival Gelombang MADANI Masjid Tanah at Kompleks Sukan Masjid Tanah today.  --fotoBERNAMA (2026) COPYRIGHT RESERVED
Anwar berkata beliau enggan terus 'terkhayal' dengan angka pelaburan dan pertumbuhan semata-mata, sebaliknya memilih untuk turun sendiri mendengar keluhan rakyat berhubung harga barang keperluan. - Gambar fail/BERNAMA
Advertisement

AYER KEROH: Prestasi ekonomi makro yang cemerlang dan mencatatkan angka pertumbuhan menakjubkan tidak membawa sebarang erti sekiranya kerajaan gagal menyampaikan kejayaan tersebut secara berkesan kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, wujud jurang antara pencapaian indikator ekonomi negara dengan realiti beban kos sara hidup yang masih dirasai masyarakat terbawah.

Mengulas cabaran politik dan sentimen semasa termasuk di beberapa negeri, beliau mengakui kegagalan menterjemahkan dasar bukanlah kerana dasar itu lemah, sebaliknya berpunca daripada kelemahan komunikasi kepimpinan sendiri.

"'Bukan salah ibu mengandung', salah kita kerana kurang pintar menyampaikan dan mungkin ada hal-hal yang belum disempurnakan.

"Kita tidak nafikan satu hal ... prestasi ekonomi baik dan semua angka menakjubkan, termasuk unjuran Bank Negara mencecah hingga 6 peratus untuk suku tahun ini. Tetapi ia tidak dapat menangkap dan memenangi jiwa rakyat sekiranya komunikasi kita lemah," katanya.

Beliau, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), berkata demikian ketika menyampaikan amanat sempena Kongres Nasional KEADILAN 2026 di Melaka International Trade Centre (MITC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan bahawa beliau enggan terus 'terkhayal' dengan angka pelaburan dan pertumbuhan semata-mata, sebaliknya memilih untuk turun ke warung serta gerai setiap minggu bagi mendengar sendiri keluhan harga barang keperluan daripada rakyat.

Justeru, tegasnya, kerajaan terus memperkukuh langkah intervensi bersasar seperti peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sebanyak RM15 bilion setahun, pelaksanaan Jualan Rahmah Madani secara mingguan, serta pelarasan gaji penjawat awam sehingga 20 peratus.

Pada masa sama, Perdana Menteri menolak tohmahan pihak pembangkang yang mendakwa negeri-negeri tertentu dianaktirikan, sambil mendedahkan bahawa peruntukan pembangunan kepada semua negeri telah dinaikkan secara ketara sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan seluruh barisan pimpinan parti dan jemaah menteri agar tidak bersikap defensif, sebaliknya lebih peka mendengar keluhan masyarakat serta memperbaiki kaedah penyampaian maklumat.

"Tugas kita adalah turun ke bawah, memahami derita rakyat dan menjawab persoalan yang dibangkitkan. Jangan sekadar memberi syarahan, tetapi dengar dan buat penyesuaian yang perlu demi membela nasib rakyat," tegas beliau lagi.

Must Watch Video

Advertisement