Ringkasan AI
- MARDI menyasarkan penanaman varieti baharu ubi keledek V8 seluas 30 hektar di seluruh negara menjelang 2027 untuk memperluas tanaman berproduktiviti tinggi.
- Varieti V8 mampu menghasilkan lebih 26 tan metrik sehektar dalam tempoh matang 90 hari, serta mempunyai ketahanan penyakit dan kandungan beta-karotena tinggi.
- Pembangunan V8 bermula 2021 dengan peruntukan RM300,000 di bawah RMK-12, kini berada pada Tahap Kesediaan Teknologi 5 hingga 6 untuk prapengkomersialan.
KUALA LUMPUR: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menyasarkan penanaman varieti baharu ubi keledek V8 seluas 30 hektar di seluruh negara pada 2027, dalam usaha memperluas tanaman berproduktiviti tinggi serta membuka peluang kepada pembangunan industri agromakanan bernilai tambah.
Ketua Pengarahnya, Sanimah Simoh berkata, varieti V8 berpotensi menjadi pilihan baharu kepada petani berikutan keupayaan menghasilkan lebih 26 tan metrik ubi keledek sehektar dengan tempoh kematangan sekitar 90 hari selepas penanaman.
Katanya, produktiviti berkenaan, ditambah tempoh matang yang lebih singkat, berpotensi membolehkan petani merancang pusingan tanaman dengan lebih cepat, sekali gus meningkatkan hasil pengeluaran dan kecekapan pengurusan ladang.
“Tanaman ubi keledek V8 ini mempunyai kelebihan kerana hasilnya tinggi iaitu dapat menghasilkan ubi keledek sebanyak satu kilogram bagi setiap satu sulur.
“Tanaman ini juga mempunyai ketahanan daripada penyakit dan ia sesuai ditanam dan hidup subur di tanah beris serta tanah bermineral,” katanya dalam kenyataan selepas Lawatan Kerja Ketua Pengarah Mardi ke Plot Varieti Baharu Ubi Keledek V8 di Mardi Bachok, Kelantan.
Sanimah berkata, usaha memperluas penanaman V8 kini memasuki fasa penyediaan bahan tanaman, khususnya pengeluaran sulur bagi memenuhi permintaan petani yang berminat mengusahakan varieti berkenaan.
Beliau menambah pengembangan varieti itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan pengeluaran ubi keledek, malah berpotensi menyokong industri pemprosesan makanan menerusi bekalan bahan mentah yang mempunyai ciri kualiti dan nilai nutrisi lebih baik.
Menurutnya, V8 mempunyai kandungan beta-karotena yang tinggi iaitu 2.138 miligram bagi setiap gram berat segar, menjadikannya berpotensi sebagai sumber provitamin A dalam penghasilan makanan lebih berkhasiat.
“Dari segi fizikal, ubi keledek V8 mempunyai bentuk yang lebih seragam, kulit luar berwarna oren kemerahan dan isi berwarna oren pekat dengan permukaan licin serta bersih.
“Ciri ini bukan sahaja sesuai untuk pasaran segar, malah berpotensi dimanfaatkan industri pemprosesan untuk menghasilkan puri, tepung, makanan bayi dan pelbagai produk makanan bernilai tambah,” jelasnya.
Ujarnya, ubi keledek mempunyai permintaan yang meluas di seluruh negara, termasuk bagi penghasilan produk makanan seperti kerepek.
Beliau berkata, pengembangan V8 berpotensi memberikan pilihan kepada petani untuk meningkatkan hasil pengeluaran, selain membantu memenuhi keperluan industri pemprosesan tempatan terhadap bahan mentah berkualiti.
Pembangunan varieti V8 merupakan hasil penyelidikan Pusat Penyelidikan Tanaman Industri Mardi yang dimulakan pada 2021 menerusi peruntukan RM300,000 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Penyelidikan berkenaan melibatkan pengumpulan dan penilaian kira-kira 40 aksesi germplasma ubi keledek sebelum lima varieti elit, iaitu VitAto, Pejabat, B1, Karak Bakar dan Tanjung Sepat, dipilih sebagai bahan induk bagi proses pembaikbakaan.
Ketika ini, varieti V8 berada pada Tahap Kesediaan Teknologi (TRL) 5 hingga 6 selepas melalui penilaian agronomi, hasil dan kualiti nutrisi di lapangan, sekali gus menunjukkan potensinya untuk demonstrasi pada skala prapengkomersial.
Pada masa ini juga, keluasan tanaman ubi keledek pelbagai varieti di seluruh negara dianggarkan 32,000 hektar, dengan Kelantan menyumbang kira-kira 16,000 hektar.