Pemimpin Melayu dalam DAP harus terasa hati dengan kenyataan Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke yang dilaporkan memekik perkataan 'celaka Melayu' semasa ditahan polis pada Selasa.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Armand Azha Abu Hanifah berkata, pekikan Anthony itu jelas membuktikan pemimpin DAP berkenaan mengeluarkan kenyataan perkauman dan rasis.

"Apa pendirian penyokong dan pemimpin Melayu DAP seperti Tengku Zulpuri Shah Raja Puji ADUN Mentakab, Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, Dyana Sofea, Rara, Edry Faizal, Young Shefura Othman, bendahari Tarmizi Anuwar dan ramai lagi dengan pekikan Anthony itu?

"Apakah mereka mengaku diri sendiri sebagai celaka juga dan membiarkan diri terus diperlakukan sedemikian?" katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

Armand mengulas tindakan Anthony yang dikatakan memekik perkataan 'celaka Melayu' semasa ditahan polis ketika pemilik tanah mengusir penduduk Kampung Ulu Temiang, Seremban pada Selasa.

Bagaimanapun sebuah portal hari ini melaporkan Anthony menafikan membuat pekikan itu dan mendakwa menjadi mangsa fitnah semata-mata.

Dalam pada itu kata Armand, pemimpin tertinggi DAP juga harus memberikan penjelasan untuk menghuraikan kejadian yang berlaku.

"Berdiam diri tanda setuju atau memohon maaf seterusnya mendesak Anthony meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan yang kurang ajar.

"Anthony diingat jangan kurang ajar dan berani menanggung akibat selepas ini akibat perbuatan sendiri," tegasnya.