PAGOH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan UMNO sudah tidak mempunyai masa depan dalam politik negara susulan tindakan ‘pembersihan’ melibatkan beberapa figura pemimpin dan ahli parti itu.

Beliau berkata, tindakan presiden parti yang bertindak di luar batas itu juga jelas membuktikan parti itu sudah tidak lagi menjadi parti dominan yang boleh diharapkan oleh masyarakat Melayu.

“Saya minta maaf, sepatutnya saya tidak boleh campur parti orang lain, tetapi kerana saya bekas Timbalan Presiden UMNO dan pernah berada bersama parti itu, saya fikir (ramai) yang berasa kecewa dan dukacita.

“Apa sudah jadi dengan UMNO? Macam sudah tidak ada demokrasi (kerana) buat keputusan pecat begitu sahaja. Dahulu saya Pengerusi Jawatankuasa Perlembagaan UMNO, yang mana kalau ikutkan seseorang pemimpin atau ahli yang ingin dipecat, perlu melalui beberapa prosedur.

“(Perlu) hantar surat tunjuk sebab lepas itu ada ruang untuk dirayu dan dipertimbangkan, tetapi yang ini kita dengar macam semalam bincang, semalam (juga) buat keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selepas Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina, Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh, turut mempersoalkan tindakan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang disifatkannya tersasar daripada hala tuju asal parti itu.

“Saya tidak tahulah mungkin kuasa presiden agak besar, tetapi saya fikir masa depan UMNO dengan Melayu sudah tidak ada lagi, yang mana minta maaf (cakap), presiden (Ahmad Zahid) sudah bertindak luar batas dan membawa UMNO ke satu hala tujuan yang jauh tersimpang,” ujarnya.

Selain itu katanya, Perikatan Nasional (PN) tidak bersorak atas kemelut yang berlaku dalam UMNO, sebaliknya, gabungan parti itu kekal mengambil langkah pragmatik untuk mempertahankan hak masyarakat Melayu.

“Tidak pernah pun kita kata nak ganti UMNO tetapi hakikatnya ramai orang Melayu sudah sedar dan buktinya masa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, sokongan Melayu pada PN melonjak 80 peratus.

“Kami tidak bersorak (pun), kita akan terus berusaha untuk memberitahu pada orang Melayu bahawa Bersatu dan Pas akan jadi parti yang diperjuangkan, kita akan dukung Perlembagaan dan menjaga benteng orang Melayu (kerana) UMNO sudah tidak boleh diharapkan,” tambahnya.