POLITIK
Armizan setuju GRS, BN bertembung di PRN Sabah

Armizan ketika berucap merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Bahagian Tempasuk di Dewan Al Arsad, Kampung Kaguraan, Kota Belud. - Foto Sinar Harian
KOTA BELUD: Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, menyatakan persetujuan terhadap hasrat Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin agar GRS dan BN bertembung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Ringkasan AI
- Pertembungan GRS dan BN dalam PRN Sabah: Datuk Armizan Mohd Ali menyokong cadangan Datuk Seri Bung Moktar Radin agar GRS dan BN bertembung dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah untuk memberi mandat sepenuhnya kepada rakyat dalam menentukan pilihan mereka.
- Hasrat Bung Moktar perlu dihormati: Armizan menegaskan bahawa keputusan Bung Moktar sebagai Ketua Perhubungan UMNO Sabah yang berautonomi perlu dihormati dan tidak diketepikan dalam menentukan hala tuju politik Sabah.
- GRS tetap terbuka kepada kerjasama: Walaupun terdapat sokongan untuk pertembungan dengan BN, GRS tetap terbuka meneruskan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan menegaskan bahawa PRN Sabah adalah untuk memilih kerajaan negeri, bukan Kerajaan Persekutuan.
“Saya bersetuju dengan Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa biarlah dalam PRN akan datang ini, GRS dan BN bertembung.
“Dengan menyerahkan kepada rakyat, maka sesiapa pun yang menang nanti tidak akan timbul tuduhan bahawa parti A menang kerana kekuatan parti B. Tiada lagi tuduhan khianat-mengkhianati.
“Biarlah kekuatan parti yang bertanding disandarkan kepada sokongan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tempasuk di Dewan Al-Arsad, Kampung Kaguraan, di sini, pada Sabtu.
Ahli Parlimen Papar itu turut menegaskan bahawa hasrat Bung Moktar tersebut wajar dihormati tanpa membelakangkan kedudukan beliau sebagai pemimpin tertinggi UMNO Sabah.
“Semua pihak perlu tunaikan hajat Bung Moktar ini dan tidak ada sesiapa pun – di mana-mana peringkat sekalipun – wajar membelakangkan pendirian beliau sebagai Ketua Perhubungan UMNO Sabah yang berautonomi,” ujarnya.
Bagaimanapun, Armizan menjelaskan bahawa kenyataan itu merupakan pandangan peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi GRS.
“Setakat ini saya tidak bercakap mewakili GRS secara rasmi. Ini pandangan peribadi saya. Saya bersetuju dan hajat Bung Moktar perlu ditunaikan.
“Saya lihat kerajaan negeri hari ini berjalan amat baik melalui kombinasi kerjasama yang sedia ada. Namun, suara dan sentimen pemimpin serta penyokong GRS di akar umbi memang mahu bertembung dengan BN,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa GRS tetap terbuka meneruskan kerjasama dengan parti-parti teras dalam kerajaan negeri, iaitu GRS dan Pakatan Harapan (PH), seperti yang pernah dinyatakan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Kita wajar menghargai pendirian PH yang mengutamakan kestabilan dengan menolak cubaan menggulingkan kerajaan negeri sebelum ini dan menyokong Datuk Seri Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri.
“Kebersamaan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan tidak wajar dijadikan penghalang kerana, pertama, tiada klausa dalam MoU pembentukan Kerajaan Perpaduan yang mewajibkan kerjasama itu diteruskan ke peringkat negeri.
“Kedua, PRN ini adalah untuk memilih kerajaan negeri, bukan Kerajaan Persekutuan.
“Ketiga, pertembungan antara parti dalam Kerajaan Persekutuan bukan perkara baharu – ia pernah berlaku di Sabah suatu masa dahulu, dan juga di Melaka serta Johor,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa soal kerjasama atau pertembungan tidak harus menjadi polemik berpanjangan, sebaliknya rakyat harus diberi ruang sepenuhnya untuk membuat penilaian dan pilihan. -- Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami