KEMAMAN: UMNO memberi jaminan bahawa tiada ahli Parlimen daripada parti itu yang akan berpaling tadah menyokong Perikatan Nasional (PN) bagi membentuk kerajaan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia mustahil dilaksanakan kerana mereka terikat dengan perjanjian.

"Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman ini bukan soal nak tukar kerajaan. Tiga hari lepas, Tan Sri Abdul Hadi Awang ada sebut bahawa Kemaman ini penting untuk mereka mula tukar kerajaan.

"Ini sama ada igauan ataupun mimpi. Setiap kali dia cakap, seorang lompat (beri sokongan kepada Perdana Menteri). Hari ini, ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Perpaduan ada 153 orang, PN sahaja ada 69 orang.

"Macam mana nak tubuh kerajaan? Kena ada 112 orang. (Ada) 69, nak cari mana lagi? Kononnya dia kata sedang pujuk ahli Parlimen kita. Saya Setiausaha Agung UMNO, beri jaminan tidak ada seorang pun yang akan berpaling tadah. Tak ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Ceramah Mega Perpaduan Madani PRK Kemaman di Geliga pada malam Rabu.

Asyraf Wajdi menjelaskan, setiap ahli Parlimen mereka sudah ada perjanjian bahawa siapa sahaja yang ingkar keputusan parti, secara sukarela akan melepaskan keahlian dalam UMNO dan BN.

"Apa kesannya? Kesannya adalah Akta Anti Lompat Parti. Apabila keluar daripada parti, maka dia terpaksa mengosongkan kerusi Parlimen tersebut.

"Kedua, mereka juga menandatangani perjanjian, setiap orang kena bayar bon RM100 juta kalau ingkar kepada ketetapan parti," jelasnya.

Abdul Hadi pada 22 November lepas, mengakui PN masih berusaha menarik sokongan pemimpin UMNO yang tidak menyokong kerjasama parti itu dalam Kerajaan Perpaduan untuk bergabung dengan mereka.

Malah katanya, pencalonan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Parlimen Kemaman adalah sebahagian daripada persediaan mereka untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan. - Sinar Harian