ARAU: Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin mahu agar Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk bersikap jujur mengenai dakwaan akan mewujudkan satu penjajaran baharu membabitkan kerjasama antara kedua-dua parti itu.

Menurutnya, kedua-dua pihak juga perlu segera membuat laporan polis berhubung isu penularan rakaman audio perbualan yang didakwa mirip kedua-dua pemimpin itu dan siasatan perlu dijalankan segera bagi mengetahui ketulenan rakaman audio berkenaan.

"Kita harap laporan polis dibuat untuk mengesahkan perbualan tersebut, kalau boleh maknanya kita buat laporan dan kita minta polis segera bagi tahu tulen atau tidak, dan bagi (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) senanglah, jika (Datuk Seri) Zahid (Hamidi) ingin berpakat dengan Anwar, kita minta dia (Zahid) meletak jawatan.

"Anwar (perlu) berterus teranglah. Sebagai pemimpin PKR, pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, pernah terlibat dengan pelbagai isu, tidak perlu takut beritahu kepada masyarakat dan rakyat bahawa PKR hendak berpakat dengan UMNO,

"Jangan bersembunyi, kalau bersembunyi maknanya mana integriti mereka, Datuk Seri  Zahid sendiri dan Datuk Seri Anwar, jangan berpura pura kepada rakyat," katanya ketika menghadiri Program Malaysia Prihatin di Politeknik Tuan Syed Sirajuddin, di sini pada Sabtu.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Anwar nafi terbabit dalam audio tular perbualan bersama Zahid

Dalam pada itu, beliau menyatakan ketika ini Ahmad Zahid masih belum menjelaskan secara lanjut mengenai perkara itu kepada ahli-ahli MT memandangkan mesyuarat membabitkan MT UMNO masih lagi belum diadakan.

Bagaimanapun, sekiranya audio berkenaan dibuktikan adalah tulen, beliau menegaskan bahawa beliau berasa amat kecewa dan sedih dengan tindakan yang dilakukan Presiden UMNO itu sendiri.

"Saya sebagai sebagai seorang ahli MT (akan) berasa kecewa kerana seolah-olah MT dipermainkan, di depan bercakap No Anwar No DAP, tetapi di belakang berhubung dengan Anwar. Malah mengiktiraf cikgu dan anak murid," katanya lagi.

Audio tular | Kalau betul, apa masalahnya? - Anwar