MELAKA: Semua calon, jentera dan penyokong parti bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 diseru supaya berkempen secara adil, matang serta bermaruah sepanjang 14 hari tempoh berkempen, kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) turut mengingatkan mereka agar mematuhi undang-undang pilihan raya dan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menghormati perbezaan pendapat serta menjauhi sebarang provokasi yang menyentuh sensitiviti agama, kaum dan institusi diraja (3R).
“Pilihan raya seharusnya menjadi medan persaingan idea, dasar dan tawaran khidmat, bukannya ruang untuk mencetuskan permusuhan serta perpecahan dalam kalangan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Azalina turut menegaskan pendirian Barisan Nasional (BN) bahawa kempen mesti berteraskan calon, rekod perkhidmatan, manifesto dan tawaran penyelesaian kepada rakyat agar mereka boleh menilai keupayaan, pengalaman serta perancangan calon untuk membawa Melaka ke hadapan.
Beliau berkata BN tidak akan terlibat dalam kempen hitam atau black PR kerana gabungan itu mahu mendapatkan mandat berdasarkan kekuatan sendiri, bukan dengan menjatuhkan pihak lain, selain menegaskan rakyat Melaka berhak membuat pilihan berdasarkan fakta, bukan fitnah atau sentimen kebencian.
Pada masa sama, Azalina berkata orang ramai perlu lebih berwaspada terhadap cabaran ekosistem digital dan sentiasa menyemak sumber, meneliti fakta serta berfikir sebelum berkongsi.
Beliau berkata jika terdapat kandungan yang disyaki mengandungi berita palsu, fitnah, penyamaran identiti atau pelanggaran berkaitan sensitiviti 3R, orang ramai disaran membuat aduan melalui saluran rasmi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Menurut Azalina, kesalahan pilihan raya pula boleh dilaporkan kepada SPR, Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut bidang kuasa masing-masing.
“Bagi kandungan yang diturunkan oleh platform digital, pengguna boleh menggunakan saluran rayuan yang disediakan oleh platform berkenaan. Simpan segala bukti berkaitan, termasuk tangkap layar, pautan dan maklumat masa, supaya sebarang aduan dapat diteliti dengan sewajarnya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata jentera penerangan UMNO di semua peringkat perlu memberikan penekanan khusus terhadap pengukuhan kempen komunikasi digital kerana dalam landskap politik hari ini, media sosial menjadi antara saluran utama pengundi mendapatkan maklumat dan membentuk pandangan.
Menurut Azalina, dengan 43.6 peratus pengundi Melaka berusia antara 21 hingga 40 tahun, pendekatan komunikasi UMNO perlu lebih dinamik, kreatif dan dekat dengan kelompok pengundi muda.
“Pastikan ruang digital dipenuhi maklumat yang tepat, kandungan yang menarik serta penjelasan yang berfakta dan berhemah,” katanya.
Azalina turut menyeru pengundi agar menilai setiap calon dan tawaran yang dikemukakan secara rasional, matang serta berasaskan fakta dan menunaikan tanggungjawab mereka pada hari pengundian.
Pengundian awal bagi PRN Melaka ke-16 ditetapkan pada 10 Nov manakala hari pengundian pada 14 Nov ini.
-- BERNAMA