SEBERANG PERAI: Hujan lebat di Pulau Pinang sejak petang tadi, menyebabkan beberapa kawasan di Seberang Perai mengalami banjir kilat.

Antara lokasi yang dinaiki air termasuk beberapa kawasan di Juru, Kampung Baru Alma, Berapit, Jalan Sukun dan Jalan Tembikai di Bukit Mertajam.

Berikutan situasi itu beberapa kempen ceramah calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri itu terpaksa dibatalkan.

Antara yang mengambil keputusan membatalkan ceramah dan 'walkabout' yang dijadualkan malam ini adalah Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga calon Parlimen Batu Kawan Chow Kon Yeow .

Beliau membatalkan ceramah yang dijadualkan diadakan di Ladang Valdor jam 7.30 malam tadi.

Turut mengambil langkah sama, calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim yang mengarahkan semua ceramah dan kempen bertemu rakyat malam ini dibatalkan.

Steven menerusi Facebook live beliau memaklumkan, terdapat beberapa kawasan telah mengalami banjir kilat yang menimbulkan banyak kesusahan kepada penduduk.

Katanya, banjir kilat berlaku selepas hujan lebat melebihi 110 milimeter (mm) melanda negeri itu hari ini, namun keadaan masih terkawal.

Sehubungan itu, beliau telah mengerahkan pasukannya dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan untuk memantau keadaan dan menghulurkan bantuan segera kepada penduduk yang terkesan.

“Ada beberapa kawasan telah mengalami banjir kilat, ia telah menimbulkan banyak kesusahan kepada penduduk, dan pengguna jalan raya, kami telah membatalkan semua kempen pilihan raya pada malam ini.

“Saya telah mengerahkan pasukan saya dengan kerjasama ADUN kawasan di Bukit Mertajam untuk turun pantau dan beri bantuan segera kepada mereka terkesan dengan banjir” katanya hari ini menerusi Facebooknya.

Turut membatalkan program pada malam ini adalah calon PH Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.